Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib

Majlis yang turut disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan berlangsung pada 24 November ini di Hotel ParkRoyal bermula pukul 8 malam, dijangka dihadiri tetamu kehormat iaitu Menterinya, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Selain itu, majlis ini juga bakal mempertemukan semula nama-nama besar dalam dunia penulisan kewartawan hiburan akhbar dan majalah bermula dari era 80-an sehingga kepada wartawan yang masih bertugas di media popular hari ini.

AKIFMA 2017 memberi pengiktirafan melalui penganugerahan 12 kategori utama termasuk Anugerah Khas Tokoh Wartawan Hiburan apabila penerima anugerah dinilai barisan juri profesional berdasarkan penulisan dan laporan wartawan hiburan berkaitan industri filem tempatan dari 1 Januari 2016 sehingga 31 Oktober 2017.

Menurut Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib majlis anugerah yang julung kali diadakan ini adalah penghargaan kerajaan melalui FINAS di atas idea, usaha dan aspirasi pihak wartawan sebagai jentera pembangunan industri.

“Impak positif kewartawanan yang kritis dan kreatif secara jangka panjang amat penting bagi membantu kerajaan menjana kepada pembinaan masyarakat yang berilmu dan cintakan industri filem itu sendiri,” katanya.

AKIFMA 2017 bakal menampilkan primadona filem Melayu era 80-an dan 90-an, Fauziah Datuk Ahmad Daud sebagai pengacara yang buat pertama kalinya bergandingan dengan Abam Bocey.

Sementara antara penyampai anugerah terdiri daripada Datuk Rosyam Noor, Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Seri Shah Rezza serta nama-nama besar dalam kewartawanan hiburan antaranya, Saodah Ismail, Sarimah Hussain, Zubairi Zabidin dan ramai lagi.

Sebanyak 12 Kategori Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia akan dipertandingkan iaitu Anugerah Penulis Pojok Terbaik, Anugerah Wartawan Hiburan Muda, Anugerah Khas Juri 1 & 2, Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kolumnis Hiburan Terbaik, Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik ( Media Baharu), Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Televisyen), Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Media Cetak), Anugerah Kewartawanan Cemerlang 1 dan 2 serta Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan. - UTUSAN ONLINE