Berpeluang menjadi antara ribuan penonton konsert sulung Ella di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) malam kelmarin mengukir satu kenangan terindah dalam lipatan sejarah sebagai seorang penulis.

Bagaimana hendak memulakan baris ayat bercerita tentang satu konsert yang cukup memberi kesan pastinya kepada semua penonton yang hadir. Muzik dan vokal yang mengagumkan jelas mewarnai persembahan hampir dua jam itu.

Bertemakan Perjalanan Ratu Rock, Ella membuka pentas dengan cukup bersahaja. Tampil dengan sut kelabu rekaan Ezzati Amira, ratu rock itu melontar suara emasnya menerusi lagu Nuri dan Permata Biru.

Malah Ella juga membuktikan jiwa rock kentalnya menerusi lagu Pengemis Cinta dan Puteri Kota. Dia berjaya membawa penonton turut sama menyanyi sehingga bergema satu dewan yang cukup berprestij itu.

Persembahan medley lagu Sekuntum Mawar Merah, Cinta Selembut Sutera, Tiada Tangis Lagi, Retak dan Demi dengan susunan muzik yang hebat menjadikan konsert ini benar-benar berada dalam kelas tersendiri.

Yang lebih mengagumkan, susunan muzik keseluruhan konsert malam itu benar-benar menyaji halwa telinga kita yang dahagakan keindahan alunan instrumen yang indah.

Setiap kali Ella membuat persembahan, pasti penonton tertanya-tanya apakah lagu yang bakal dialunkan penyanyi berusia 51 tahun ini. Susunan muzik yang cukup sempurna daripada empat genius muzik mencerminkan ini satu konsert yang benar-benar hebat.

Paduan gubahan muzik nukilan Ahmad Muriz Che Rose yang juga memimpin 90 pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bersama-sama Jenny Chin, Syed Shahir Faizal Syed Hussain, Luqman Aziz dan Leonard Yeap memberi nafas segar dan nuansa baharu kepada 20 lagu yang dipersembahkan.

Malah kehadiran Edrie Hashim dan Ritz sebagai gitaris memberi suntikan rock dalam konsert tersebut. Muzik yang indah berjaya membawa penonton menyelusuri perjalanan muzik Ella yang cukup hebat.

“Kami menghabiskan masa lebih enam bulan memikirkan resipi bagi menjadikan setiap lagu yang dipersembahkan istimewa. Kita tidak boleh ubah susunan muzik sebarangan. (Namun) Kita tak perlu bersungguh-sungguh untuk hasilkan jiwa rock itu.

“Ella adalah satu daripada instrumen itu. Memang ada bahagian yang mencabar. Whisper dan klimaks setiap lagu, Ella kena masuk dalam dunia itu. Tetapi dia berjaya membuktikan kehebatannya,” kata Ahmad Muriz, konduktor muzik pilihan Ella untuk berkolaborasi pada dua malam persembahan tersebut. 
- Gambar IHSAN DFP

Pengalaman berbeza

TIDAK hairan jika wajah ratu rock negara itu terserlah kepuasan dan kenikmatan apabila dia sendiri mengakui teruja setelah mencipta sejarah tersendiri mengadakan konsert solo penuh diiringi okestra buat pertama kalinya.

“Sangat susah untuk saya menjayakan konsert dengan 90 pemuzik di atas pentas. Sangat mencabar dan memberi satu pengalaman berbeza. Saya harap semua menikmati konsert tersebut.

“Walaupun saya rasa boleh buat yang lebih baik tetapi persembahan untuk dua malam ini adalah ikhlas dari hati saya. Susunan muzik pastinya memberi cabaran dan gugup juga sebenarnya,” jelas Ella usai konsert tersebut.

Tampil dengan busana hitam rekaan T Syahmi pada sesi kedua persembahan, Ella menyempurnakan konsert tersebut dengan seleksi lagu-lagu seperti Bayangan, Layar Impian, Kesal dan Dua Insan Bercinta dengan cukup gah.

Malah tatkala menyanyikan lagu baharunya, Ku Sedia, Ella duduk bersebelahan komposer lagu tersebut, Jenny yang bermain piano bagi konsert itu. Lagu tersebut digubah dengan cukup indah.

Jika dibelek lipatan penuh konsert semalam, pastinya persembahan lagu Pedih, Rindu dan Sembilu menjadi pilihan penulis. Ella benar-benar memberi jiwa rock merasuk ke dalam setiap lagu yang dipersembahkan.

Tidak dinafikan, ada kelompongan pada konsert yang cukup gah itu namun Ella berjaya menutupnya dengan kenakalan dan gaya tersendiri di atas pentas.

Adakala penonton tergelak kecil dengan sifat manja yang semua sedia maklum, begitulah Ella. Bayangkan, usai menyanyikan Permata Pemotong Permata, Ella meminta kebenaran untuk membuka kasutnya.

Dia merasakan tidak selesa dan tidak ada jiwa rock and roll untuk meneruskan konsert tersebut. Gelagatnya secocok dengan peribadinya yang santai dan santun mencuri hati penonton.

Apa lagi hendak digambarkan tentang sebuah konsert yang memberi makna kepada setiap penonton. Terjual ibarat goreng pisang panas, konsert ini menghadiahkan senyuman penuh kepuasan kepada setiap penonton.

Menutup konsert dengan lagu Standing In The Eyes Of The World dan Gemilang, legenda rock tanah air, Ella membuktikan dia berada dalam kelas yang tersendiri dan tidak akan terganti sama sekali. Syabas Ella dan DFP!