Tetapi itu tidak terjadi kepada pelakon popular yang berasal dari selatan tanah air, iaitu Norliana Samsudin, 31, kerana dia lebih tenang dan relaks berbanding ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Norliana atau lebih dikenali dengan nama Yana berkata, majlis pernikahan yang dirancang hanya dalam tempoh dua bulan itu berlalu dengan cukup tenang, kecuali pada saat-saat akhir.

Jelas Yana, pada awalnya dia tidak berasa gementar langsung dan pelik mengapa ramai daripada rakan-rakan termasuk rakan artis yang bertemu dengannya menasihatinya untuk bertenang.

“Boleh dikatakan setiap daripada mereka memberikan nasihat yang hampir sama, iaitu meminta saya untuk bertenang.

“Ini membuatkan saya rasa pelik kerana saya ada dengar tempoh beberapa hari sebelum bernikah memang bolah menjadikan seseorang itu gementar dan kelam-kabut, tetapi saya tidak rasa begitu.

“Namun situasi terus berubah pada hari pernikahan. Lebih tepat semasa hendak menyarung pakaian nikah. Tiba-tiba hati saya gementar tidak terkata,” ujarnya yang juga merupakan seorang penulis skrip, pengarah dan penyanyi.

Tepat pukul 4.15 petang pada 13 Februari lalu, Yana Samsudin sah bergelar isteri kepada jejaka yang dikenali sejak tahun 2008, Fadzil Bahri Zahari, yang merupakan adik kepada rakan artis, Farid Kamil.

Menurut Yana yang pernah merangkul anugerah Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular 2013, perasaan gementar yang dirasakan sedari awal pagi itu hilang sejurus mendengar pengesahan sah.

Katanya, perasaan gementar yang dirasakan itu jauh lebih daripada perasaan gementar yang dirasakan ketika membuat persembahan.

“Mujurlah segalanya berjalan dengan lancar dan pihak lelaki dilihat lebih tenang berbanding saya.

“Kini baru saya faham apa yang orang katakan perasaan gementar hendak bernikah itu berbeza dengan perasaan lain,” ujarnya yang dilihat menitiskan air mata setelah sah bergelar isteri kepada Fadzil.

Yana menerima mas kahwin RM10,000 berserta wang hantaran berjumlah RM50,000 dengan lima dulang hantaran daripada pengantin lelaki dan dibalas tujuh dulang hantaran oleh pengantin perempuan.

Majlis resepsi sebelah perempuan diadakan keesokan harinya bertempat di Dataran Yong Peng, Johor manakala majlis di pihak lelaki akan diadakan pada awal bulan Mac ini.

Pernikahan kedua mempelai itu disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Jamek Pekan Yong Peng, Shamsul Rizalaris Abdul Hamid sambil ditemani ahli keluarga dan rakan-rakan artis.

Bangga si ‘bapa angkat’

Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam perjalanan karier Yana sebagai pelakon, penerbit David Teo tidak ketinggalan untuk sama-sama hadir meraikan hari bahagia anak buahnya itu.

Menurut David, dia sudah menganggap dirinya sebagai ‘bapa angkat’ kepada Yana kerana telah mengenali wanita itu kira-kira 11 tahun lalu, iaitu sebelum Yana dikenali sebagai seorang artis.

“Saya berasa bangga dengan dia. Bbukan sahaja kerana dia telah selamat bergelar isteri tetapi kerana dia juga berjaya dalam kerjayanya sebagai seorang anak seni.

“Saya sentiasa menyokong perkahwinan artis, tetapi biarlah ia dibuat secara matang dan setelah mereka benar-benar tahu akan hala tuju hidup mereka,” katanya.

Tambah David, pelakon lain seharusnya mencontohi Yana yang tidak terburu-buru untuk berkahwin tetapi sebaliknya menunggu masa yang sesuai setelah cukup matang.

“Saya ucapkan tahniah kepada pasangan suami isteri ini dengan harapan mereka akan kekal berjaya dan bahagia di masa akan datang,” tambahnya.

Penantian tujuh tahun berakhir

Tidak sah berbicara soal perkahwinan tanpa mendengar luahan perasaan pihak lelaki, Fadzil Bahri Zahari yang juga merupakan seorang penulis skrip kepada filem-filem seperti Bini-Biniku Gangster, Kongsi, Pe3 dan Taikun.

Jelas Fadzil, dia telah mengenali Yana ketika berkunjung ke set penggambaran V3 Samseng Jalanan yang dibintangi dan diarahkan oleh abangnya, Farid Kamil.

Katanya, pada waktu itu dia yang bertugas sebagai pembantu kepada Farid dan telah tertarik dengan Yana walaupun mereka tidak pernah berkenalan sebelum itu.

“Ketika itu saya hanya menyangka dia seorang kru di set penggambaran kerana pakaiannya yang biasa, tetapi setelah saya selidik baru saya tahu dia juga seorang pelakon.

“Bermula dari situ saya berusaha untuk merapatkan diri dan kami mula berkenalan sebagai rakan,” ujarnya yang pernah menghantar rombongan merisik pada 2010.

Menurut Fadzil, ketika itu ahli keluarga perempuan terkejut kerana mereka menjangka kedatangan hanya untuk beraya, tetapi lengkap cincin dan tepak sireh.

“Ketika itu saya tahu bahawa masih terlalu awal buat kami, jadi saya simpan dahulu hajat itu sehingga akhir tahun lalu saya sekali lagi menghantar rombongan.

“Syukur alhamdulillah, perasaan saya ketika ini tidak dapat digambarkan dengan perkataan dan tulisan, saya teruja kerana kami kini pasangan suami isteri,” ujarnya yang bakal bekerjasama dengan isterinya untuk beberapa filem akan datang.

Kerja, kerja, kerja

Tidak salah rasanya jika melabel Yana sebagai seorang artis yang mempunyai komitmen tinggi terhadap kerjayanya kerana dalam tempoh bergelar anak seni, pelbagai perkara telah dilakukan Yana.

Kerana kesibukan kerja itulah menurut Yana, dia tidak mempunyai masa terluang untuk memikirkan soal perkahwinan mahupun soal cinta sebelum ini kerana mahu memberi fokus kepada karier terlebih dahulu.

“Sebelum ini saya memang lebih banyak berfikir soal kerjaya dan tidak terlalu memberi perhatian soal hati dan perasaan, apatah lagi soal hendak berkahwin.

“Memang sejak kebelakangan ini nama kami sering dikaitkan bersama tetapi ketika itu hubungan kami belum berada pada tahap benar-benar serius, namun saya menganggapnya sebagai satu doa.

“Namun pada bulan-bulan akhir 2014, hati saya seolah-olah telah terbuka dan memberi isyarat bahawa saya kini sudah bersedia untuk bergelar isteri sekali gus menamatkan zaman bujang,” katanya.

Yana yang popular dengan siri filem Adnan Sempit memberitahu, dia bukanlah jenis wanita yang suka memulakan perkenalan dengan mana-mana individu.

“Pada ketika itulah saya memberitahu ibu dan bapa bahawa saya sudah serius mahu berkahwin dan memberitahu mereka saya akan menerima individu yang datang melamar sekiranya ada,” katanya.

Tidak lama kemudian, iaitu pada tarikh 14 Disember 2014, Fadzil Bahri menghantar rombongan merisik sekali gus membuat pinangan yang diterima kedua orang ibu dan bapa Yana.

Disebabkan komitmen pada 
kerja juga, pasangan pengantin ini harus menunggu masa yang sesuai untuk berbulan madu kerana jadual kerja Yana sudah padat sehingga pertengahan tahun.

“Tidak lama selepas majlis perkahwinan ini saya akan kembali ke set penggambaran dan rutin ini akan berlangsung sehingga pertengahan tahun.

“Buat waktu ini, saya dan suami masih belum mempunyai sebarang perancangan langsung soal berbulan madu atau berapa anak yang dimahukan kerana tiada masa hendak berbual soal tersebut sebelum ini,” ujarnya.