Gembira tengok orang bahagia

Siti Nurhaliza lebih memerlukan doa berbanding hadiah bernilai

Anatara aksi manja Siti dan suaminya Khalid, sambil disaksikan 4
Antara aksi manja Siti dan suaminya Khalid, sambil disaksikan ibu serta ibu mertuanya.

SABAN tahun acara hari lahir penyanyi ini kekal menjadi tumpuan para peminatnya. Mahu tidaknya selepas berpuluh tahun bergelar artis, tiada siapa yang menyangkal Datuk Siti Nurhaliza sudah memulakan fenomena tersendiri apabila menerima pelbagai hadiah berharga ratusan ribu ringgit daripada suami tersayang Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, setiap kali tarikh 11 Januari menjelang.

Antara hadiah yang menjadi perhatian tentunya kereta Mercedes Benz hitam yang dihadiahkan pada 2008 yang bernilai RM800,000. Selain itu juga Siti pada tahun berikutnya turut menerima jam tangan berjenama Richard Mille berharga RM200,000 dan selepas itu beg tangan berjenama Louis Vuitton yang dianggarkan berharga RM40,000.

Melalui hadiah yang diterima ini memang layak Siti menjadi perhatian setiap kali sambutan hari lahirnya. Balas penyanyi ini, dia tidak pernah menganggap hadiah yang bernilai itu sebagai sesuatu yang perlu dimiliki lagi. Tiada apa yang lebih bernilai buat diva kesayangan ramai ini, selain doa-doa ikhlas peminat untuk dia kekal berjaya pada masa hadapan.

“Kalau sudah dimulakan, memang ada yang mahu terus tahu apa hadiah yang saya dapat setiap tahun. Tetapi saya mahu ubah semua itu. Rasanya tiada apa yang lebih berharga buat saya, selain gembira untuk melihat kegembiraan orang lain.

“Sebab itu bila saya cadangkan tahun ini hadiah itu diubah kepada sumbangan buat mangsa banjir. Alhamdulillah, daripada Yayasan Nur Jiwa sendiri, saya dan suami dermakan RM50,000. Terdapat juga mereka yang memberi sumbangan sempena hari lahir saya ini yang bernilai kesemuanya RM310,000,” katanya.

Mengenang kembali sambutan hari lahirnya balas Siti, sepanjang menjadi penyanyi memang ada satu sambutan hari lahirnya yang kekal menjadi memori terbaiknya sehingga kini. Ketika berumur 21 tahun, dia dihadiahkan sebuah jam tangan berjenama Rolex.

“Apa yang paling seronok adalah lokasi sambutan hari lahir itu yang disambut di sebuah rumah banglo di tepi tasik. Memang saya sudah katakan kepada kak Rozi (kakak ipar) yang saya suka rumah tersebut. Mereka secara sembunyi membuat perancangan untuk sambutan hari lahir saya di situ.

“Pada malam itu juga saya dihadiahkan jam tangan oleh arwah ayah serta pihak pengurusan Siti Nurhaliza Production, sehingga kini saya masih menyimpan hadiah tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir yang ke-36 di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Bercakap mengenai sambutan hari lahirnya tahun ini juga, Siti menganggap ia lebih kepada menghargai mereka yang selama ini melihat jatuh bangunnya dalam industri. Memilih suasana yang penuh ringkas tetapi amat bererti, Siti tidak melangsungkannya secara besar-besaran demi menghormati tragedi sedih yang berlaku dalam negara kebelakangan ini.

“Selain media terdapat juga komposer dan penulis lirik yang banyak membantu saya. Orang-orang ini yang selama ini berada di belakang karier saya.

“Saya memang mahu meminta maaf, kerana jemputan agak terhad. Kalau boleh saya tidak mahu buat secara besar-besaran,” katanya.

Kurang empat tahun lagi penyanyi ini bakal melangkah ke umur 40-an. Melihat perkara itu dari sudut positif kata Siti, dia tidak merasakan umur sebagai punca untuk dia bergerak lebih perlahan. Diakui juga, pada tahap ini kesihatan menjadi fokus utamanya.

“Memang bila sudah 35 angka itu akan terus naik tanpa kita sedari, kalau mahu kata menakutkan, tidak juga.

“Cuma semenjak berkahwin memang saya agak prihatin mengenai tahap kesihatan. Sebab itu saya sering melakukan pemeriksaan kesihatan kerana di waktu sekarang kita tidak tahu macam-macam boleh terjadi,” katanya.

Melihat apa yang sudah dilaluinya Siti percaya kini waktu yang baik untuk dia memperbaiki diri dari segala sudut. Perubahan ini demi mendapatkan kualiti hidup yang lebih teratur, bukan sahaja untuk diri tetapi keluarganya.

“Dahulu kita muda mungkin waktu itu lebih banyak untuk kerja. Apabila menginjak dewasa, saya mahu meluangkan waktu yang lebih buat keluarga juga. Orang kata, cuba sedaya mungkin untuk membahagikan masa dengan lebih baik,” katanya.

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati