Meskipun hanya empat negeri yang terpilih menerusi Maher Zain Malaysia Tour 2019 iaitu bermula di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur ( 9 Mac), Pasir Gudang, Johor Bahru ( 15 Mac), Stadium Spice, Pulau Pinang ( 16 Mac) dan Universiti Malaysia Sabah (17 Mac), lelaki berusia 37 tahun ini menjangkakan ada lagi persembahan daripadanya di lokasi lain kelak.

“Saya anggap ini sebagai permulaan untuk mengadakan konsert di negeri-negeri lain pula. Biarpun buat masa ini saya hanya berpeluang untuk berada di empat negeri, tetapi Insya-Allah andai ada kesempatan, saya mahu ke tempat lain pula.

“Sokongan padu peminat di negara ini sejak saya menjejakkan kaki pada 2016, seringkali membuatkan hati saya sentiasa gembira untuk ke sini sekali lagi.

“Jujurnya, saya selalu bertanya kepada diri sendiri, bilakah agak dapat mengadakan konsert jelajah di sini.

“Syukur Alhamdulillah, impian menjadi nyata dengan adanya konsert jelajah 2019 ini,” ulasnya ketika ditemui di sidang media pelancaran konsert itu di ibu negara, baru-baru ini.

Bakal menyampaikan 20 buah lagu sepanjang dua jam konsert berlangsung, Maher berharap tidak tersalah membuat pilihan lagu.

Sebagai seorang penyanyi, sukar baginya untuk membuat keputusan berkenaan seleksi lagu bagi mencukupkan 
durasi konsert yang telah ditetapkan.

“Harapan saya untuk konsert itu nanti, ia dapat mengembalikan memori peminat terhadap lagu saya daripada album pertama hingga yang ketiga.

“Konsert itu juga sebagai hadiah buat penyokong setia saya di sini. Terima kasih kerana sentiasa memberikan semangat dan dorongan padu kepada saya.

“Saya harap dengan kedatangan saya selepas beberapa tahun ini dapat mengubati kerinduan peminat,” ulasnya yang kali terakhir berada di negara ini pada 2016 sempena mempromosikan album One.