Apatah lagi selepas melihat kesibukan ayahnya sewaktu menguruskan acara keramaian di kampung menyebabkan penyanyi berusia 46 bersemangat untuk mengikut jejak langkahnya.

Rasa teruja itu semakin memuncak apabila Rahmad melihat sendiri kehebatan bapanya bermain gitar sewaktu berusia lima tahun.

“Arwah ayah merupakan salah seorang daripada ahli jawatankuasa belia di kampung. Pada waktu itu, kampung saya menubuhkan kumpulan gitar rancak yang diberi nama CB Band (Cahaya Baru Band).

“Jadi dia yang dipertanggungjawabkan untuk menyimpan peralatan muzik kumpulan itu. Kemudahan balai raya ada disediakan tapi disebabkan faktor keselamatan barangan berkenaan disimpan di rumah kami.

“Jadi apabila arwah ayah menunjukkan kemahirannya ‘menggoreng’ gitar di depan saya, sudah pastilah saya teruja. Terus bercita-cita nak jadi macam dia,” kata anak bongsu daripada lima beradik ini.

Bertolak dari situ, Rahmad mengikut ke mana saja bapanya pergi. Semuanya kerana mahu menyaksikan kehebatan bapanya yang bukan saja boleh bermain alat muzik malah menyanyi lagu-lagu asli dan keroncong.

Tanpa disangka, dia berkongsi minat dengan bapanya itu. Malah ayahnya itu juga menjadi pembakar semangat kepada Rahmad untuk memberanikan diri menyanyi di khalayak ketika berusia lima tahun.

Kali pertama dia menunjukkan bakatnya di sebuah majlis keraian yang turut dihadiri penyanyi pop yeh yeh sekitar tahun 1960-an, A. Halim yang menjadi artis jemputan.

Sewaktu acara selingan dalam majlis yang sama, Rahmad memberanikan diri menyanyi dua buah lagu iaitu Cinta Hampa dendangan D’lloyd dan Ku Berangan-angan nyanyian Elmi Salleh.

“Habis saja saya menyanyi, saya terperanjat apabila A. Halim memberikan saya duit 50 sen. Pada waktu itu, jumlah duit yang diberikan kepada saya itu memang besar.

“Sudah pastilah saya gembira sebab itu kali pertama juga saya mendapat bayaran. Duit itu juga saya simpan sebaiknya sebab ia cukup bermakna buat saya,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun minat Rahmad dalam nyanyian itu terhenti tidak lama kemudian. Keadaan itu terjadi selepas pentas hiburan yang digunakan CB Band itu dibakar pihak tidak bertanggungjawab.

Sekaligus memadamkan minat Rahmad untuk menyanyi sehingga dia berusia 14 tahun. Pada waktu itu dia secara suka-suka menyanyi sempena Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang, Johor.

Selepas itu, Rahmad berpeluang untuk menyertai pertandingan lagu asli di peringkat daerah Johor Bharu yang berlangsung di Sekolah Menengah Vokasional Perdagangan Johor Bharu (kini Sekolah Menengah Teknik Perdagangan).

Walaupun saat itu Rahmad merupakan pilihan kedua pihak sekolah untuk mempertaruhkan bakatnya dalam pertandingan yang sama, namun itu bukan masalah besar buatnya.

Apa yang penting bagi Rahmad adalah dia mahu membuka mata semua pihak tentang bakat yang dimilikinya itu.

“Penyanyi pilihan pertama pihak sekolah mengalami masalah keluarga. Lantas dia langsung tidak membuat persediaan pada hari pertandingan.

“Disebabkan itu, dia gagal untuk membuat persembahan nyanyian dengan baik.

“Saya pula kecewa apabila mendapat tahu pihak penganjur hanya membenarkan seorang wakil daripada setiap sekolah untuk menyertai pertandingan berkenaan,” ujarnya lagi.

Menyanyi

Dek terlalu meminati bidang nyanyian, Rahmad mengaku pernah mencuri keluar asrama untuk menyaksikan persembahan Battle of The Band ketika di bersekolah di Maktab Sultan Abu Bakar (English College) pada 1983.

Dia sanggup melanggar peraturan sekolah semata-mata untuk menimba pengalaman agar cita-citanya untuk menjadi penyanyi satu hari nanti tercapai.

Dan rasa teruja untuk menjadi penyanyi semakin memuncak selepas selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila menubuhkan Kumpulan Malam di kampungnya.

“Disebabkan kami asyik membuat persembahan di majlis perkahwinan waktu malam, itu yang tercetusnya idea untuk menggunakan nama kumpulan itu.

“Tapi nama itu tidak bertahan lama. Kami kemudiannya menukar kepada Kumpulan Gerimis. Atas kata sepakat semua ahli juga, kami nekad untuk mencuba nasib di Kuala Lumpur,” cerita Rahmad tentang pengalamannya menjadi artis rakaman ketika berusia 18 tahun.

Kumpulan Gerimis terdiri daripada Arab selaku gitaris, Joe (pemain drum), Ahmad (gitaris), Ocy (bass) dan Rahmad yang pada waktu itu menggunakan nama pentas Aily selaku vokalis.

Mereka berlima bernaung di bawah syarikat ASB Arek Sdn. Bhd. yang popular dengan lagu Kenangan Lalu dan Rindu Semalam.

Namun disebabkan kumpulan tersebut berdepan dengan masalah kewangan dek kurang membuat persembahan di sekitar ibu kota, akhirnya mereka nekad untuk membuat haluan masing-masing.

Rahmad kemudiannya pulang ke kampung dan bekerja sebagai pembantu makmal di kilang Kempas Edible Oils Sdn. Bhd. yang terletak di Pasir Gudang.

“Selepas sembilan bulan bekerja di kilang tersebut, saya didatangi seorang pemberita sambilan daripada majalah URTV, Putra yang pada waktu itu mencari penyanyi untuk sebuah band yang sudah mempunyai nama.

“Pada awalnya, saya keberatan. Tapi setelah didesak arwah emak, Rokiah Ahmad, saya pergi juga menjalani sesi uji bakat yang diadakan di Studio Jojos di Johor Bharu.

“Di sana barulah saya tahu saya yang uji bakat itu untuk mencari vokalis kumpulan Mega. Dan saya dikehendaki untuk menyanyikan lagu Pasti, Sakura dan Badai,” ujarnya lagi.

Rahmad akhirnya diterima menjadi vokalis Mega menggantikan penyanyi asal kumpulan tersebut Zarith memulakan kariernya selama lima tahu bermula 1991 hingga 1995.

Enggan menyambung kontrak dengan syarikat BMG Music atas sebab peribadi selepas itu, Rahmad kemudiannya bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di syarikat rakaman Insitech di Taman Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur.

Kira-kira setahun kemudian, Rahmad menukar angin dengan bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran dan Artis di syarikat Ambang Klasik Sdn. Bhd. hingga 2000.

Solo

LEBIH selesa bergerak secara solo selepas kumpulan Mega berpecah, namun kata Rahmad, itu tidak bermakna karier nyanyiannya terhenti begitu saja.

Dia kemudiannya menyanyikan semula lagu-lagu dendangan komposer Ly Baiduri dalam sebuah album kompilasi berjudul Luahan Rasa pada 1997.

Pada 2007, Rahmad juga berkesempatan membuat konsert reunion bersama anggota kumpulan Mega yang diadakan di Planet Hollywood. Konsert tersebut turut membabitkan vokalis asal Mega, Zarith.

“Ada yang bertanya kenapa Mega tidak kekal sampai ke hari ini. Sebenarnya, perkara itu agak sukar disebabkan komitmen kerja masing-masing.

“Sebab itu, saya memilih untuk menjadi penyanyi solo,” kata konsultan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Water Beaute World Berhad yang merupakan syarikat produk kecantikan wanita ini.

Terkini, dia baru melancarkan album solo berjudul Hujan pada 10 Disember lalu yang menjadi pengubat rindu kepada peminat-peminatnya.