Dalam masa sama, menyedari anak-anak watan perlu dipupuk semangat cintakan budaya bangsa, maka tercetus inisiatif penubuhan kumpulan kesenian Gemala Sitra oleh pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Washington, Amerika Syarikat (AS).

Gemala Sitra bukan sekadar sebuah kumpulan kesenian biasa, sebaliknya, di bahu ahli yang menganggotainya, tugas mempromosikan budaya menjadi keutamaan mereka.

Menurut tenaga pengajar dan penyelaras Gemala Sitara, T.K Lim atau lebih lebih dikenali sebagai Aqoque, idea asal penubuhan badan kesenian ini dicetuskan oleh bekas Duta Besar Malaysia ke AS, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis sekitar tahun 2011.

Semasa perkhidmatan Jamaluddin, Gemala Sitra, kata Aqoque, banyak mengadakan persembahan pada majlis-majlis rasmi melibatkan tetamu kenamaan dengan penglibatan anak-anak serta kaum keluarga para diplomat dan penuntut-penuntut Malaysia di AS.

“Setelah beberapa tahun ditubuhkan, kumpulan ini bukan sahaja dianggotai oleh ahli keluarga diplomat di sini, malah disertai oleh para pelajar yang menyambung pelajaran di sekitar AS.

“Bukan itu sahaja, kumpulan ini turut menarik minat warga tempatan yang berminat mempelajari budaya orang Malaysia. Matlamatnya mudah, mahu memupuk semangat cintakan budaya negara sendiri meskipun berada di perantauan di samping menerap kesedaran mengenai kebudayaan Malaysia,” katanya kepada Utusan Online.

Aqoque yang kini berkhidmat di Washington memberitahu, ketiadaan Jamaluddin, tidak pula membantutkan usaha mempromosikan budaya Malaysia, sebaliknya, usaha berterusan diambil oleh Duta-Duta selepas Allahyarham termasuk Tan Sri Othman Hashim dan Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Menurut Aqoque, pada hujung tahun lalu, Gemala Sitra diundang untuk mengadakan sebuah persembahan pada Appreciation Night of Malaysia Cultural Dance Troupe yang dianjurkan oleh Duta Besar Malaysia di AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique dan isteri, Puan Sri Anna Razak di Kedutaan Besar Malaysia di Washington.

Minat dan kecintaan yang ditunjukkan oleh Anna, jelas, Aqoque, memberi motivasi untuk beliau meneruskan usaha-usaha mempromosikan budaya Malaysia dari semasa ke semasa.

“Saya bersyukur kerana Tan Sri Zulhasnan dan Puan Sri Anna banyak memberi sokongan dan restu kepada saya dan anggota-anggota Gemala Sitra untuk memperluaskan skop promosi budaya di Washington terutamanya,” kata Aqoque.

Hubungan baik Aqoque dengan karyawan seni tanah air seperti komposer Datuk Suhaimi Md. Zain atau Pak Ngah dan isterinya, Datin Sharifah Mahani serta Ketua Program, Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA, Mohd Kamarulzaman Taib atau Che Kem juga banyak membantu melancarkan usaha-usaha meningkatkan apresiasi kefahaman dan kesedaran mengenai kebudayaan Malaysia.

“Bukan itu saja, terdapat beberapa individu yang terlibat dalam memberikan tunjuk ajar kepada ahli kumpulan serta bertindak selaku koreografer tarian etnik di Malaysia.

“Selain itu, dengan kewujudan kumpulan ini, ia mengukuhkan silaturrahim melalui jambatan budaya di antara rakyat Malaysia dengan warga tempatan di sini,” kata Aqoque lagi.

Pemilihan nama Gemala bagi membawa misi kebudayaan membawa maksud batu permata yang berharga yang memiliki keajaiban sementara Sitra merupakan singkatan daripada Seni Tradisi Rakyat. - UTUSAN ONLINE