Mengetengahkan konsep berbeza sejak lima tahun lalu, ternyata program realiti nyanyian yang mengembalikan penyanyi era 80-an dan 90-an dilihat menepati keperluan penonton terutama khalayak Melayu.

Sama seperti empat musim lalu, pengumuman peserta sentiasa ditunggu-tunggu. Bezanya kali ini, GV5 membuat pembaharuan paling berani apabila menyenaraikan artis duo dan berkumpulan sebagai peserta.

Bagi program yang akan memulakan konsert minggu pertama pada Ahad ini (30 September), penonton setia GV akan dihiburkan dengan 12 peserta - Safura, Amelina, Dia Fadila, Hetty Sarlene, Zamani, Shafie Rio, Noryn Aziz, Farawahida, Mya Ruslee, Billy Zulkarnain, kumpulan Forteen dan kumpulan Elite.

GEGAR VAGANZA dilihat antara platform pilihan ramai usahawan untuk mengiklankan produk. Pada masa sama, tidak dinafikan ‘kuantiti’ perhatian yang berjaya diwujudkan program ini, sekali gus memberi kelebihan kepada penaja.

Bagaimanapun program GV juga tidak pernah lekang dengan kontroversi. Terkini, pendedahan juara GV4, Aishah mengenai hadiah kemenangannya yang masih tertangguh membuatkan ketelusan penaja utama musim lalu menjadi bualan ramai.

Malah jika musim terdahulu usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr. Vida ‘panas’ sebagai penaja, kali ini tanggungjawab diambil alih oleh Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman melalui jenama produk D’Herbs.

Tentang pertukaran penaja kali ini, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad menolak dakwaan bahawa kontroversi yang melibatkan Aishah dan Vida menjadi punca pihak penaja bertukar tangan.

“Kami tidak pernah memilih mahupun menukar penaja. Alhamdulillah musim ini D’Herbs bersetuju untuk meneruskan tajaan,” jelasnya yang percaya kekuatan GV meyakinkan pihak penaja.

“Tahun ini hadiah utama untuk juara masih sama iaitu wang tunai sebanyak RM100,000. Setiap penaja juga melalui syarat yang sama seperti sebelum ini yang bermakna selain yang dinyatakan di dalam perjanjian, kami mengambil sikap berkecuali,” tambahnya.

Bercakap mengenai pilihan peserta kali ini, Raqim tidak menolak rancangan mereka untuk mempelbagai peserta dari negara berbeza tidak berjaya. Katanya, ada peserta dari Indonesia tidak mampu meneruskan cabaran kerana komitmen berbeza.

“Jadi kami melihat pilihan untuk meneruskan cabaran dalam GV dengan menampilkan kumpulan dan duo sebagai satu nafas baharu buat program ini,” kongsinya.

Masih mengekalkan tahap pilihan peserta melalui uji bakat, aura GV masih menggamit ramai artis untuk mencuba nasib dan kali ini seramai 30 artis mencuba nasib menjadi peserta GV5.

Saya tak akan tiru DSV - Aliff Syukri

Menurut Datuk Aliff Syukri yang sebelum ini pernah menaja program Akademi Fantasia (AF), modal yang mencukupi serta kedudukan syarikat yang semakin kukuh membuatkan dia tidak teragak-agak menaja GV5 selain populariti GV yang saban tahun mendapat perhatian khalayak.

Dalam pada itu, meskipun statusnya sebagai penaja utama, Aliff mengakui, tidak berhak untuk mengatur atau menetapkan jumlah dan bentuk hadiah yang akan diberikan kepada pemenang.

Baginya, perkara tersebut adalah bawah tanggungjawab produksi. Sebagai penaja, Aliff hanya membayar sejumlah wang yang telah dipersetujui antara mereka.

“Saya tidak mahu masuk campur soal itu kerana saya tidak mahu digelar gila glamor. Saya tidak perlukan pentas GV untuk lebih dikenali kerana saya mempunyai platform sendiri,” ujarnya.

Ditanya mengenai penampilannya dalam program tersebut kelak, Aliff menjelaskan bahawa dia mempunyai identitinya sendiri dan sama sekali tidak akan meniru cara DSV.

“Yang dia buat sepanjang menaja GV sebelum ini adalah karakternya. Jadi tidak mungkin saya menirunya.

“Soal penampilan juga, saya serahkan kepada Astro. Bagi saya, jika mereka tak beri saya menyanyi atau tampil terlalu kerap di pentas, saya tidak boleh dan tak akan paksa,” jelasnya.

Mahu dikenali semula

LEBIH dikenali sebagai penyanyi jazz membuatkan nama Noryn Aziz hanya dikenali dalam kalangan kelompok tertentu.

Justeru kata Noryn, ada tiga sebab yang membuatkan dia bersetuju untuk tampil dalam GV5.

“Sebab pertama ialah untuk kenalkan nama saya dengan peminat muzik tempatan. Selama ini yang kenal saya ialah kelompok tertentu sahaja iaitu penggemar jazz. Tak ramai pun kenal siapa Noryn Aziz dan lagunya.

“Saya juga mahu mencabar diri sendiri kerana selama ini saya sangat teknikal orangnya. Menyanyi harusnya begitu dan begini yang sekali gus menjadikan karier saya mendatar. Kepuasan itu ada tetapi tidak berkembang luas.

“Yang ketiga ialah apabila berada pada usia saya sekarang (42 tahun), orang tak kenal lagu-lagu saya. Hanya dua lagu yang orang tahu iaitu Khayalan dan Fantansi O Realiti. Itu sahaja. Jadi, perlu untuk saya ketengahkan lagu yang lain,” kata Noryn yang juga seorang guru vokal.

Selepas ditawarkan untuk kali ketiga, Zamani yang dianggap legenda dalam dunia muzik pop juga mahu mencabar diri untuk membawakan kepelbagaian genre sebagai fokus utamanya apabila dia bersetuju menjadi peserta GV5.

“Gelaran apa pun kepada kita sekadar satu nama yang kita harus letak ke tepi. GV5 adalah platfom untuk saya mencabar diri sendiri.

“Sepanjang 23 tahun menyanyi, saya membawakan lagu sendiri sampai adakalanya berasa bosan. Justeru, GV5 adalah pentas terbaik untuk saya menyanyikan genre lagu yang berbeza daripada yang saya bawakan selama ini.

“Saya pernah menyanyikan lagu orang tetapi pada persembahan pentas yang segelintir orang saja yang tengok, harapnya GV5 ini dapat menonjolkan sisi lain saya,” katanya.

Malah kata Zamani, 47, dia bersedia menerima kritikan juri profesional untuk setiap persembahan tersebut demi memperbaiki mutu nyanyian.

“Sebagai penyanyi, kalau mahu maju kita perlu menerima tunjuk ajar daripada orang lain. Tak kisahlah kalau ditegur kesilapan kerana dari situ kita dapat meningkatkan kualiti nyanyian dan tidak berada pada takuk sama.

“Soal menang atau kalah adalah soal lain. Kalau menang, alhamdulillah tapi kalau sebaliknya, saya akan tetap melakukan kerja yang sama iaitu menyanyi. Tidak ada bezanya.

“Cuma pada waktu ini saya perlu ambil kesempatan untuk menonjolkan kembali nama saya dan Slam dalam dunia seni walaupun pada awalnya, ada kalangan mereka tidak bersetuju saya menyertai GV5.

“Apa pun selepas diberi penerangan yang munasabah, mereka faham dan akur dengan keputusan saya. Hanya satu yang saya harapkan pada malam persembahan ialah dikurniakan kesihatan yang baik agar saya dapat menyanyi dengan sempurna,” katanya yang kini mula bersenam bagi mendapatkan kecergasan seperti berjogging dan berbasikal.

Abby, Watie terus beri sokongan - Elite

Kemunculan kumpulan terkenal era 1990-an, Elite yang akan berentap dalam GV5 mencipta kejutan buat peminat yang telah lama menanti aksi nyanyian dan tarian mereka.

Menurut Linda, mewakili Elite yang turut dianggotai Sasha, Azza, Watie dan Abby ini, sebelum mengejutkan peminat, mereka terlebih dahulu terkejut kerana diberi peluang menyertai GV5.

“Sebelum ini, ramai peminat bertanya bila Elite mahu kembali aktif menyanyi. Jadi, peluang tampil menerusi GV5 ini kami jadikan sebagai kejutan kepada mereka.

“Sebenarnya keputusan ini dibuat secara spontan. Memandangkan kami berminat dan peminat juga menanti, maka kami direalisasikan di sini,” jelas Linda.

Bagaimanapun, penyertaan Elite dalam GV5 hanya oleh tiga ahli iaitu Linda, Sasha dan Azza selepas mendapat persetujuan semua ahli.

“Kami menghormati keputusan Abby yang telah mengambil keputusan untuk berundur, manakala Watie pula, rezeki tidak memihak kepadanya walaupun pada awalnya bersetuju kerana terikat dengan jadual lakonan drama berepisod.

“Justeru, agar tidak menyusahkan banyak pihak, mereka memberi keizinan untuk kami bertiga bertanding atas nama Elite. Walaupun tidak bersama-sama, tetapi sokongan daripada mereka tidak pernah putus kepada kami,” ujarnya.

Harap tuah nombor lima

Pernah menimbulkan kontroversi yang mempersoal dirinya tidak terpilih dalam GV musim terdahulu, penyanyi Mya Ruslee bersyukur menerusi uji bakat kali ketiga, dia akhirnya membarisi 12 artis pada GV5.

Mengharapkan keajaiban angka lima kerana lahir pada Mei dan menyertai musim kelima GV, Mya mahu penyertaannya itu memberi sinar baharu bagi kerjayanya yang telah menginjak 24 tahun selain mahu membuktikan dia mampu menyanyikan pelbagai genre lagu.

“Selama ini orang hanya tahu dua lagu saya iaitu Diari Biru Dua dan Matahari sedangkan saya ada banyak lagi lgu lain.

“GV5 juga adalah ialah pentas besar untuk saya kembali memperkenalkan diri selepas 20 tahun.

“Kali terakhir saya muncul di pentas pertandingan ialah ketika separuh akhir Muzik Muzik pada 1998,” katanya sudah memasuki kelas vokal dengan dua guru profesional sebagai persediaan menyertai GV5.