Gazetkan pop yeh yeh

A. Rahman Hassan (tiga dari kanan) ketika majlis pelancaran Persatuan
A. Rahman Hassan (tiga dari kanan) ketika majlis pelancaran Persatuan Pencinta Lagu-Lagu dan Muzik 60-an Daerah Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

SETELAH berdekad menjadi khazanah dalam sejarah muzik Malaysia, beberapa artis lama yang pernah menggilap nama dan mengangkat irama itu memulakan inisiatif baharu bagi mengembalikan popularitinya di samping mengumpul peminat baharu.

Simbolik kepada usaha berkenaan, Persatuan Pencinta Lagu-lagu dan Muzik 60-an Daerah Johor Bahru dilancarkan pada malam ambang tahun baharu 2017 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor (YWJ), Johor Bahru, Johor.

Pelancarannya dilakukan Presiden persatuan tersebut, Datuk A. Rahman Hassan dan diserikan dengan persembahan artis-artis seangkatan. Para audiens seakan-akan melalui terowong masa kembali ke zaman 60-an apabila artis jemputan seperti Datuk Jeffrydin dan Zaleha Hamid menghiburkan mereka.

A. Rahman yang merupakan penyanyi terkenal era 60-an ketika ditemui berkata, persatuan itu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan akan dikembangkan penubuhannya ke daerah lain di Johor sebelum diwujudkan di negeri lain pula.

"Johor dipilih sebagai permulaan penubuhannya kerana negeri ini merupakan pencetus irama pop yeh yeh sebelum popular dan berkembang ke negeri lain. Pop yeh yeh bermula di Singapura dan Johor sebelum menjadi kegilaan di Kuala Lumpur dan negeri lain.

"Melalui persatuan ini kita akan adakan program contohnya pertandingan di YWJ mencungkil bakat-bakat baharu terutama generasi masa kini yang meminati irama pop yeh yeh," katanya.

A. Rahman, pengasas Kumpulan Orkes Nirwana dari Johor Bahru yang ditubuhkan pada 25 Mac 1965 dan masih wujud hingga kini berkata, usaha persatuan itu mahukan pop yeh yeh diminati semula dan dihargai kerana merupakan khazanah muzik negara.

Beliau berkata, Johor harus mendapatkan hak cipta atau menggazetkan pop yeh yeh sebagai khazanah dan warisan negeri seperti irama tradisional keroncong serta zapin Johor.

Langkah tersebut katanya, wajar dilakukan bagi memastikan negeri ini mendapat hak miliknya yang dilakukan berdasarkan sejarah peloporan dan perkembangan irama klasik itu.

Selain itu, bapa kepada pengarah, pelakon dan penyanyi, Khir Rahman itu berkata, usaha memartabatkan muzik pop yeh yeh tidak seharusnya digerakkan persatuan tersebut sahaja sebaliknya dilakukan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Menurut A. Rahman, Aswara adalah pihak yang paling layak untuk melakukan usaha itu. Antara yang harus dilakukan ialah dengan menyalin semula album-album dan single yang diterbitkan sepanjang zaman kegemilangan irama klasik itu ke dalam bentuk digital.

Polisi

Beliau yang juga Presiden Kelab UMNO Artis Tanahair (KUAT) berkata, usaha berkenaan akan memudahkan peminat irama itu termasuk orang muda berpeluang mendengarnya semula selain alternatif utama ketika ini kerana karya pop yeh yeh amat mahal di pasaran.

"Pada masa ini album-album pop yeh yeh yang dahulunya diterbitkan dalam bentuk piring hitam amat susah diperoleh dan jika adapun harganya sangat mahal hingga mencecah RM200 sekeping.

"Hanya pengumpul tegar pop yeh yeh dan mereka yang betul-betul fanatik sanggup membelinya. Transformasi daripada format piring hitam ke format baharu contohnya dalam bentuk digital dan memuat naik di Internet harus dilakukan," katanya.

Irama berkenaan juga katanya, harus didokumentasikan untuk rujukan industri muzik tempatan termasuk difilemkan kerana genre pop yeh yeh hanya terbentuk dan terdapat di negara ini.

"Pihak yang berminat harus mempunyai rujukan secukupnya. Mereka boleh bertemu saya dan rakan-rakan artis lama yang masih ada untuk mendapatkan maklumat tepat," katanya.

Selain itu katanya, pihak kerajaan juga harus mewujudkan satu polisi kepada pihak radio dan televisyen supaya irama berkenaan diputarkan serta dipromosikan dalam program mereka.

Sementara itu Jeffrydin berkata, pop yeh yeh mempunyai keistimewaan dan keunikannya sendiri selain yakin dapat bersaing dengan genre moden lain. Beliau yang pernah popular dengan lagu Mas Mona berkata, keistimewaan muzik berkenaan terletak pada petikan gitar rancak selain ketukan dram dan alunan organnya.

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati