Begitu pun, penggunaan material dan potongan yang unik serta berbeza dengan jenama lain di pasaran, menjadi taruhan jenama Kanvas-ed yang diusahakan oleh Shazmin Hashim Zainal.

Pemenang Pencarian Pereka Air Asia 2015 itu menampilkan koleksi yang diinspirasikan gaya hidup wanita urban (urban life woman) yang memfokuskan gaya ringkas, praktikal, mudah serta sesuai dipakai buat mereka yang inginkan gaya tidak terlalu sarat dengan perincian dan kilauan.

Mempertaruh potongan dinamik dan sofistikated, Kanvas-ed menampilkan potongan asimetri dan belahan (slits) di bahagian tepi seluar, skirt dan baju dengan menggunakan belahan yang mempunyai zip besi selain penggunaan zip kulit yang merupakan signatur jenama itu.

Penggunaan belahan zip memberi gaya versatiliti kepada pemakai yang gemarkan gaya edge, selain juga sesuai untuk mereka berhijab sama ada dengan membuka belahan zip dengan memakai seluar lapisan di bahagian dalam atau untuk gaya kasual boleh menutup zip bagi memberi sentuhan gaya personaliti sendiri.

“Bagi memberi fokus berbeza, belahan zip turut diletakkan di bahagian siku dan bahu selain semua seluar direka dengan potongan longgar yang sesuai dipadankan dengan blaus.

“Uniknya, Kanvas-ed tampil dengan rekaan lapik tindih belakang (overlap drape back), potongan belah di bahagian lengan dan tepi selain potongan rendah-panjang dengan belahan di bahagian tepi bagi memberi sedikit sentuhan tidak simetri pada rekaan,” katanya.

Beberapa rekaan juga direka dengan butang boleh ubah, selain potongan baju-T biasa yang direka dengan potongan cut-out sides menampakkan gaya yang lebih segar berbeza daripada baju kasual biasa.

Pada penganjuran Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung baru-baru ini, Kanvas-ed menampilkan 12 persalinan yang menumpukan pakaian wanita bahagian atas dan bawah.

Dia memilih fabrik kapas poli, krep poli serta fabrik berat seperti kapas drill dan kapas linen kerana tekstur yang lembut dan selesa serta sesuai dengan keadaan cuaca panas.

Sesuai dengan gaya urban, Kanvas-ed mengetengahkan warna-warna bumi seperti nude, merah jambu lembut, hijau lembut gelap serta tona oren bagi memberi pilihan warna-warna segar buat wanita.

Koleksi peragaan itu boleh didapati melalui pembelian di Instagram, @kanvas-ed dengan harga bermula RM100 hingga RM450.