Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat pengurusannya, MindOrder Sdn. Bhd., hos Jalan-Jalan Makan Angin itu menegaskan, dia berjanji untuk tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

“Saya yakin tidak bersalah dalam hal ini dan telah dibebaskan kurang dari 24 jam selepas ditahan pada malam Jumaat lalu.

“Nasib tidak menyebelahi saya apabila pihak berkuasa menahan kami bertiga termasuk dua orang rakan baik yang kebetulan ada bersama saya.

“Kesilapan saya adalah terlalu mempercayai rakan dan mudah terpengaruh. Bagaimanapun, insiden itu memberi pengajaran kepada saya agar lebih berhati-hati dalam memilih kawan,” katanya kepada Utusan Online.

Terdahulu, pelakon tersebut ditahan bersama dua lagi rakannya kerana disyaki memiliki ganja seberat 5.97 gram yang disembunyikan di dalam keretanya di Jalan Bukit Setiawangsa, di sini.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Wangsa Maju telah menahan kereta jenis Honda Jazz milik pelakon terbabit di sebuah stesen minyak.

Hasil pemeriksaan, pihak polis menemui satu bekas tin aluminium yang di dalamnya terdapat satu paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dan leraian daun-daun kering dipercayai ganja bersama alat menghisap ganja yang disembunyikan di bawah kerusi pemandu. - UTUSAN ONLINE