Menurut komposer runut bunyi filem berkenaan, Onn San, pelawaan untuk berada di DFP muncul setahun selepas dia berhubung dengan pihak DFP bagi menyatakan hasrat untuk membawa Olabola ke pentas muzik pula.

“Semuanya bermula dengan pengarah filem ini, Chiu Keng Guan yang menyatakan hasrat untuk membawa Olabola ke DFP. Mungkin DFP sudah menyusun jadual mereka lebih awal, jadi kami menanti hampir setahun sebelum ditawarkan ke DFP.

“Pada mulanya, saya merasakan apa yang kami citakan itu hanyalah mimpi. Tetapi, tidak sangka pula DFP sudi menerima idea kami,” jelasnya yang gembira dengan pelawaan tersebut.

Sebanyak 11 buah lagu bakal dimainkan termasuklah lagu tema filem berkenaan iaitu Arena Cahaya dan menariknya, untuk tayangan kali ini, ada beberapa lagu yang terpaksa dipotong untuk siaran pawagam akan dimainkan di DFP.

Selain iringan muzik oleh MPO, lagu Arena Cahaya pada malam itu akan dinyanyikan oleh Juwita Suwito dan bakal menampilkan kumpulan koir UCSI Chorale.

Konsert yang diberi judul Olabola-Movie With Live Music akan menemui penonton pada 15 dan 16 September depan pada pukul 8.30 malam. Tiket dijual dengan harga bermula RM240 hingga RM120.

Mereka yang berminat untuk menonton melayari laman sesawang MPO di www.mpo.com.my untuk sebarang maklumat lanjut.- UTUSAN ONLINE