Kingsley, 66, membawa watak sebagai seorang pakar matematik pintar, Perci Trachtenberg yang menemui seorang lagi ahli akademik, Venkat di sebuah kasino di London, dalam filem seram Teen Patti (Tiga Daun Terup).

Venkat (Amitabh Bachchan) memberitahu Trachtenberg mengenai penemuannya yang dipercayai boleh mengubah konsep mengenai kebarangkalian dan menguji teorinya itu dengan berkunjung ke sarang-sarang perjudian di Mumbai.

Filem arahan Leena Yadav itu dibarisi pelakon terdiri daripada bintang terkenal, termasuk Irrfan Khan (Slumdog Millionaire, A Mighty Heart), Boman Irani dan bintang filem Tamil, R. Madhavan.

Irani dan Madhavan baru-baru ini tampil dalam filem Aamir Khan, 3 Idiots.

Miss Universe pertama dari India, Sushmita Sen dan hero filem aksi-komedi, Ajay Devgan turut membintangi Teen Patti yang akan mula ditayangkan pada Jumaat ini.

"Peranan Kingsley sangat penting dalam filem itu dan kemunculannya bukan sekadar untuk menunjukkan muka," kata Yadav yang menggambarkan filemnya bukan tentang perjudian sebenar tetapi lebih mengenai keputusan berisiko yang diambil oleh seseorang.

Yadav berkata, beliau sudah lama mahukan seorang bintang antarabangsa membawa watak Perci dalam filemnya.

"Saya menyedari tidak ada orang lain yang boleh menyerlahkan filem itu kecuali Sir Ben Kingsley. Saya gembira kerana berjaya menarik beliau untuk turut berlakon," katanya.

Kingsley yang dikurniai gelaran Sir oleh Ratu Elizabeth II pada 2002 cukup terkenal di India kerana memainkan watak pemimpin kemerdekaan negara ini, Mahatma Gandhi dalam filem Gandhi.

Beliau memenangi anugerah Oscar bagi Pelakon Terbaik pada 1982 kerana lakonannya dalam filem tersebut yang ditayangkan pada Hari Kemerdekaan India setiap tahun. - AFP