Dengan kejayaan kedua-dua buah filem lakonannya yang mencecah kutipan pecah panggung itu, pelakon dan pengarahnya, Stephen diiktiraf sebagai pelakon komedi nombor satu Asia dan sebagai antara penghibur yang paling disayangi di rantau ini.

Sempena dengan kedatangan Tahun Baharu Cina, aktor itu muncul dengan filem terbaharunya yang berjudul The New King Of Comedy yang menampilkan barisan pelakon popular seperti E Jing Wen, Wang Baoqiang, Tin Kai-man, Zhang Quandan, Ji Ruyang, Zhang Qi, Yuan Xingze.

Bagi Stephen, filem yang memulakan tayangan pada Selasa lalu dihasilkan daripada inspirasi seorang pelakon tambahan yang akhirnya berjaya menjadi seorang pelakon terkenal.

“Menerusi filem ini saya menerapkan falsafah ‘bekerja keras untuk berjaya’, biarpun terdapat pelbagai rintangan yang harus dihadapi.

“Selain itu, ada juga sebahagian babak yang memberikan gambaran tentang kehidupan dan kerjaya saya dalam 20 tahun terakhir ini dan berharap ia memberi inspirasi kepada penonton,” ujar Stephen dalam satu kenyataan akhbar.

Pelakon utama filem itu, Jing Wen yang memegang watak sebagai Dreamy mendedahkan terkejut apabila mendapat tawaran untuk membintangi filem berkenaan.

“Apabila penolong pengarah menghubungi saya dan diberitahu telah dipilih untuk berlakon dalam filem terbaharu arahan Stephen Chow, saya seperti tidak percaya.

“Saya membawakan watak seorang gadis yang tidak kisah tentang keseronokan dan itu adalah diri saya yang sebenar dalam dunia nyata,” ujarnya.

Pada masa sama, Jing Wen juga menyatakan sepanjang bergelar pelakon dia tidak pernah berputus asa untuk mencapai impiannya menjadi pelakon terkenal dan berasa amat gembira dengan peluang berlakon dalam filem di bawah arahan Stephen itu.