Formula lagu melankolik Dadali

KUALA LUMPUR, 9 September 2015 - Fotografi bersama kumpulan Dadali

MENGGUNAKAN formula lagu melodrama dan lebih berjiwa sebagai asas utama menjadikan Dadali antara kumpulan dari Indonesia yang berjaya menembusi pasaran Malaysia satu ketika dahulu.

Lagu Di Saat Aku Mencintaimu bukan sahaja berjaya membawa mereka masuk ke sini tetapi dalam masa yang sama terus memperkenalkan nama Dadali antara kumpulan popular dengan lagu melankolik.

Menggunakan melodi yang sedap didengar dan kata-kata puitis yang meruntun jiwa pastinya menjadi. Formula yang telah diguna pakai sejak tahun 2011 itu diteruskan kembali oleh Dadali kali ini.

Meskipun ada yang berpendapat lagu yang mereka mainkan bukan berada di kelas satu, tetapi cukuplah sekadar lagu-lagu itu diterima baik oleh berjuta peminat mereka di Indonesia.

Hampir empat tahun menghilangkan diri daripada industri muzik Malaysia, kini mereka berenam kembali lagi ke sini bagi mempromosikan album kedua yang baru sahaja dilancarkan.

Bagi kumpulan asal kota Bogor yang terletak di Pulau Jawa ini, ada sesuatu yang menarik dipertaruhkan untuk peminat di sini.

“Mungkin ada yang beranggapan kami sudah menghilangkan diri seperti kumpulan-kumpulan lain tetapi tidak sebenarnya. Dadali masih ada dan masih utuh sebagai sebuah kumpulan.

“Bukan kami tak rindu kepada peminat di sini tetapi biarlah kehadiran kami bersama dengan produk baharu. Rasanya bila ada album atau lagu baharu lebih menyeronokkan daripada datang dengan tangan kosong,” kata Dyrga selaku vokalis kumpulan ini.

Selain Dyrga anggota lain Dadali terdiri daripada Rickarjd selaku gitaris, Yuda (gitaris), Fadel (bass), Oq (drum) dan Rix (keyboard).

Kehadiran mereka ke Kuala Lumpur minggu lalu bukan sekadar mahu mengadakan sesi pengenalan lagu baharu tetapi turut mengadakan pelancaran album Di Saat Sendiri yang menjadi pertaruhan terbaru.

Masih menggunakan acuan yang sama, pastinya mereka berenam mengharapkan penerimaan peminat di sini masih hangat seperti mana yang pernah dilalui sebelum ini.

Kejayaan

JIKA diberikan peluang yang lebih besar pastinya mereka mahu mengembangkan nama Dadali ke seluruh dunia melalui muzik yang diperjuangkan.

Walau bagaimanapun kesemua mereka bersyukur kerana berpeluang untuk memperkenalkan nama Dadali ke Hong Kong beberapa waktu yang lalu.

Menganggap detik tersebut merupakan jalan baharu buat mereka, pastinya kenangan bermain muzik di sana dipahat sebagai kenangan yang tak dapat dilupakan.

“Walaupun gembira berada di sana, tapi perasaannya tidak sama bila berada di Malaysia. Kami yakin kelompok peminat di sini jauh lebih menikmati muzik kami berbanding di sana,” tambah Yuda pula.

Jika diamati perjalanan kebanyakan kumpulan yang lain, pastinya kematangan setiap kumpulan dapat dilihat daripada mesej dan lirik lagu yang digunakan.

Tidak semua kumpulan akan mengekalkan lagu ‘jiwang’ sebagai asas dan pastinya ada pergerakan dan kematangan dalam album baharu.

Tahu dengan kebimbangan tersebut, bagi Yuda perkara berkenaan bukan masalah besar buat mereka. Tekadnya hanya untuk memberikan yang terbaik meskipun menggunakan lagu melankolik sebagai taruhan utama.

“Lagu melankolik ini lebih dekat di hati pendengar. Saya sendiri berasakan ia memang lebih mudah diterima. Jika didengar lagu-lagu daripada Dadali, muziknya juga tidak jauh berbeza.

“Kami tidak mahu membuat eksperimen dengan rentak lain kerana ini yang pendengar mahukan sebenarnya,” kata Yuda yang juga pencipta lagu Di Saat Aku Tersakiti itu.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu Dadali, katanya, mereka kini dalam perancangan untuk bertemu peminat di Amerika Syarikat (AS).

“Kami bercadang untuk melakukan konsert di Amerika Syarikat pada masa akan datang. Sudah ada permintaan peminat-peminat Dadali yang mahukan kami ke sana untuk bertemu mereka terutamanya komuniti Indonesia yang ada di negara itu.

“Cuma sekarang ini banyak perkara yang perlu diambil kira termasuklah penyediaan visa untuk ke negara tersebut. Apa pun jika diizinkan, kami pasti ke sana untuk bertemu peminat yang selama ini banyak memberi sokongan kepada Dadali,” jelas Yuda.

Menariknya video muzik Di Saat Aku Tersakiti sudah mencecah lebih lima juta tontonan di YouTube.

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati