Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Fly reda dan pasrah

Tujuh tahun mencuba, kumpulan Fly tetap berusaha

ANGGOTA kumpulan Fly sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri
ANGGOTA kumpulan Fly sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri dan mengatur beberapa strategi bagi memeriahkan industri seni tanah air.

TIGA buah single telah dipertaruhkan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Fly ini sejak mula menceburkan diri pada 2008. Ia bukan satu tempoh masa yang singkat, namun tetap merendah diri dengan status kumpulan baharu.

Dianggotai oleh lima ahlinya yang terdiri daripada Naz (vokalis), Yus (dram), Arez (gitar), Zul (gitar kedua) dan Roy (bes), masing-masing menyifatkan keberadaan Fly dalam industri masih dipandang sepi.

Mewakili kumpulannya, Yus memberitahu, bagaimanapun mereka reda dan pasrah dengan rezeki yang telah ditentukan Ilahi kerana masih memberi ruang dan peluang untuk Fly terus kekal berada di persada muzik tempatan.

Katanya, walaupun tidak begitu dikenali, Fly mempunyai pengikut dan peminat tersendiri yang sentiasa memberi sokongan terhadap karier nyanyian kumpulan itu.

“Kami masih mendapat jemputan untuk menyanyi di majlis-majlis keraian dan juga persembahan di beberapa konsert mini tempatan. Disebabkan itu, ia sebagai satu simbolik untuk kami teruskan perjuangan kami dalam bidang ini.

“Syukurlah setiap ahli kami mempunyai pekerjaan tetap untuk memastikan poket tidak kosong dan dapur terus berasap. Walaupun sudah agak lama dalam bidang ini, kami tidak pernah berputus asa meneruskan kerjaya sebagai pemuzik,” katanya ketika bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini.

Tambah Yus selaku ketua kumpulan, sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi menguatkan semangat Fly menghasilkan karya-karya lebih bermutu dan berkualiti bagi menunjukkan sikap daya saing mereka.

Pun begitu, Fly optimis dan bersifat realistik dalam menempuhi cabaran sebagai anak seni. Mengakui perlunya rangkaian yang kuat dalam industri ini untuk terus maju, Yus memberitahu bahawa pihaknya sedang cuba mempertingkatkan daya komunikasi yang lebih baik.

“Saya tahu, jika mempunyai kenalan yang berpengaruh dalam bidang ini, ia adalah satu bonus untuk mengorak langkah lebih jauh. Bagaimanapun, ia memerlukan kemahiran komunikasi yang bagus dan itu adalah kelemahan yang diakui.

“Namun begitu, kami cuba memperbaiki kelemahan tersebut. Cuba untuk memeriahkan majlis yang dihadiri penggiat seni muzik tempatan untuk menambahkan kenalan. Bagaimanapun, kami perlu pastikan produk Fly berkualiti dan menarik untuk dipasarkan.

“Kalau ada kenalan sekalipun, jika produk tidak bagus pun tiada gunanya. Sebab itu kami cuba menghasilkan yang terbaik,” katanya sambil memperkenalkan single Terus Terbang yang menjadi karya terbaharu mereka.

Mengulas mengenai single berkenaan, Terus Terbang sebagai satu isyarat luahan hati Fly yang tetap meneruskan perjuangan seni mereka. Ia sebuah lagu berentak rock moden yang disifatkan mesra pendengar.

Jelasnya, melodi lagu tersebut segar dengan alunan muzik rock yang mengikut aliran semasa. Lagu itu juga mula mendapat tempat di beberapa stesen radio tempatan.

Lebih menarik, selain bahasa Melayu, Terus Terbang akan dirakamkan dalam dialek Kantonis untuk menarik minat pendengar daripada kaum Cina.

“Ia salah satu strategi kami untuk memasuki pasaran seni Cina tempatan mahupun luar negara. Diharap percaturan ini membuahkan hasil yang berbaloi,” tambahnya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan