Percutian singkat sepanjang tiga hari tersebut menghimpunkan Ketua Pegawai Operasi (CEO) RRMP, Seelan Paul; Pengurus Besar RRMP, Anida Mohd Tahrim; dan tiga penyampai radio popular mereka iaitu Syed Naguib Al Sagoff (Guibo) dari Fly FM, Muhammad Azmir Selamat (AG) dari Kool FM dan Mohamad Hanaffi Razak (Ajak) untuk Hot FM.

Acara anjuran RRPM ini dengan tema #FlyHotKoolRayaLombok adalah kesinambungan tradisi kepada banyak lagi percutian yang telah diadakan sebelum ini dengan anggota media iaitu di Pulau Pangkor, Karambunai (Sabah), Phuket (Thailand), Janda Baik (Pahang) dan Bali (Indonesia).

Justeru untuk kali ini, Lombok menjadi pilihan memandangkan tarikan pulau tersebut yang menghamparkan nilai budaya, alam semula jadi, air terjun, kawasan pendakian dan lokasi pelancongan tersendiri.

Malah hampir kesemua ahli rombongan langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke pulau yang mempunyai keluasan hampir sama dengan Bali itu.

Menurut Seelan, amalan tradisi tersebut sebagai satu jalinan persahabatan dan kerjasama yang erat antara tiga stesen radio itu dengan anggota media yang selama ini saling melengkapi dari segi publisiti.

“Tradisi bercuti dengan media ini dapat mengeratkan silaturrahim antara kami di RRMP dan pihak media.

“Dengan bercuti juga dapat kami bertemu wajah-wajah baharu dalam dunia media serta mengeratkan persahabatan dengan wartawan-wartawan senior selain dapat menjalinkan hubungan kasual dengan lebih baik lagi.

“ApabIla melihat ramai yang tidak pernah bercuti di Lombok maka destinasi ini menjadi pilihan utama. Saya sendiri belum pernah ke Lombok, begitu juga dengan para penyampai kami iaitu AG, Ajak dan Guibo.

“Lagipun Lombok sudah menjadi satu destinasi yang trending dan pulangan bercuti ke sini juga berbaloi dengan harganya. Tiga penyampai dari tiga stesen radio ini dipilih kerana mahu mereka mengenali anggota media dengan lebih mesra,” kata Seelan.

Fokus kepada tradigital

Menurut Seelan, RRMP kini memperkenal pengisian tradigital dalam persembahan radio-radio bawah pengurusannya.

Pengisian tradigital ini menggabungkan dua format iaitu tradisional dan digital apabila para penyampai radio mereka perlu menggunakan kedua-dua platform tersebut untuk berkomunikasi dengan pendengar.

“Para penyampai radio RRMP tidak sekadar menjadi penyampai radio sebaliknya perlu menyediakan kandungan video bagi menarik minat pendengar. Mereka boleh memuat naik sebarang kandungan video ini sama ada dari segi kerja atau bersifat peribadi.

“Ini satu cara untuk terus mendekati para pendengar kerana mereka lebih suka melihat dari dekat kehidupan seorang penyampai,” kata Seelan.

Masih relevan?

Menjadikan pelawak sebagai penyampai radio dianggap sesuai dengan tuntutan kehidupan hari ini yang adakalanya memerlukan keceriaan pada setiap hari.

“Ada pendengar yang dalam perjalanan ke tempat kerja mahukan sesuatu yang lucu dan menghiburkan hati. Kebetulan pula orang yang boleh menceriakan keadaan tersebut ialah pelawak.

“Tetapi sebenarnya sesiapa pun boleh jadi penyampai asalkan mampu menghiburkan pendengar. Penyampai Fly FM, Guibo dan Hafiz misalnya bukan pelawak tetapi mereka memenuhi tuntutan ini kerana pandai menghiburkan pendengar dengan bicara spontan dan santai mereka.

“Setiap enam bulan kami membuat kajian mengenai hal ini. Pendengar di bawah umur 35 tahun memang sukakan hiburan manakala bagi yang berusia 40 tahun ke atas gemar kepada sesuatu yang serius.

“Apa pun, apabila pelawak menjadi penyampai, satu perkara yang pelawak perlu tahu ialah mereka kena faham asas dalam penyampaian radio.

“Berlawak di radio juga lebih sukar kerana perlu memberi visual kepada pendengar. Justeru cabarannya sangat berbeza,” kata Seelan.

Pada Mac lalu, RRMP turut melancarkan produk baharu Ais Kacang iaitu hab podcast audio yang menghimpunkan pelbagai jenis topik semasa dan perbincangan yang meliputi tiga bahasa utama, bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Ais Kacang mendapat sambutan memberangsangkan apabila aplikasi telah mencapai lebih 20,000 muat turun dan 150,000 pendengar sebulan.

Sementara itu, Ajak, AG dan Guibo berasa cukup gembira kerana kali pertama mendekati media dengan lebih rapat.

“Ini adalah peluang terbaik untuk menjalinkan hubungan,” kata AG.