Artis solo terbaharu di bawah label KRU Music ini dijangka bakal menyaingi barisan penyanyi solo lelaki tempatan sedia ada dengan berbekalkan bakat dan komitmen tinggi yang diberikannya.
Lagu Selepas Berpisah nyanyian anak muda berusia 21 tahun ini sebenarnya dihasilkan oleh Edry Abdul Halim untuk nyanyian kumpulan KRU.
Bagaimanapun kerana penyampaian Fitri Hakim yang sungguh baik ketika demo yang diadakan pada sesi ujibakat telah menambat hati Edry dan abangnya, Norman untuk memberikan single tersebut eksklusif untuknya.

Nampaknya, Edry begitu menaruh harapan tinggi agar lagu Selepas Berpisah yang dinyanyikan Fitri Hakim itu mampu melonjakkan artis baharu naungan syarikat rakamannya itu sebaris dengan penyanyi-penyanyi solo lelaki lain dalam industri hiburan tanah air yang ada sekarang ini.
Menurut Fitri Hakim,  lagu Selepas Berpisah yang bergenre balet itu menceritakan kepedihan hati dilalui seorang lelaki yang dikecewakan oleh insan dicintai kerana wujud orang ketiga dalam perhubungan mereka.
“Lagu ini kisah dua insan yang putus cinta kerana pasangannya mencintai lelaki lain. Disebabkan itu, lelaki tersebut berasa sungguh kecewa tetapi masih mendoakan yang terbaik buat bekas kekasihnya.

“Apa-apapun, dia berdoa agar dirinya diberikan semangat baharu untuk bangkit meneruskan kehidupan dan menemui peluang kedua,” katanya ketika sesi fotografi bersama .com baru-baru ini.
Sehingga kisah ini ditulis, .com mendapati, lirik lagu Selepas Berpisah yang telah dimuat naik secara rasmi di laman YouTube sejak Mac lalu telah ditonton lebih 73,000 orang manakala versi video klip pula yang dimuat naik pada 30 Oktober lalu mencatatkan hampir 8,000 orang.

Katanya, dia berharap single pertama nyanyiannya di bawah label KRU Music itu mampu pergi jauh serta mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pendengar muzik tempatan.
“Pihak pengurusan terus berusaha mengeluarkan lagu ini di corong-corong radio tempatan untuk memastikan ia kerap didengari selain mempromosikannya di media-media hiburan.
“Alhamdulillah, hasil kerjasama dan usaha keras semua pihak, ia telah dijadikan OST (lagu tema) bagi drama bersiri Fajar Aiman yang ditayangkan di slot Azalea setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 4.00 petang di TV3,” katanya yang merupakan juara Bintang RTM 2012.

Ujarnya, bagi perancangan kariernya yang baharu bermula, dia mahu tampil menjadi produk yang bernilai untuk KRU Music dan kekal lebih lama dengan syarikat rakaman tersebut. – DHIYA’ZULHILMI DAUD / ABDUL RAZAK LATIF