FAUZI AYOB

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Fauzi Ayob, Finas telah mengambil inisiatif penting bersama-sama beberapa agensi kerajaan dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Membanteras Cetak Rompak Digital sebagai sinergi bersama menangani isu cetak rompak.

Sehubungan itu, beliau berkata, Finas perlu menunggu maklumat susulan kerana isu cetak rompak juga melibatkan pelanggaran isu hakcipta dan harta intelek berhubung filem-filem di pawagam yang dimuat naik ke laman sesawang oleh individu tidak bertanggungjawab dan beretika.

“Finas berharap agar peniaga dan pembeli sedar akan tindakan perdagangan cetak rompak adalah salah di sisi undang-undang sebagai contoh dari sudut undang-undang, penyalinan, pengedaran dan penggunaan produk harta intelek secara haram tanpa izin pemegang hakcipta bagi merupakan satu kesalahan menurut Akta Hakcipta 1987.

“Malah, Finas juga mengambil serius pihak tidak bertanggungjawab yang melanggar Akta Finas 1981 iaitu mereka yang menjalankan aktiviti pengedaran dan pameran filem tanpa lesen,” katanya kepada UTUSAN ONLINE di sini hari ini.


Dalam pada itu, Fauzi berkata, kesedaran sivik dan moral penonton untuk menghormati hakcipta dan harta intelek pihak karyawan adalah tunjang utama dan Finas berharap semua pihak bekerjasama bagi menangani isu cetak rompak ini.

“Di pihak Finas, penguatkuasaan berterusan di seluruh negara bagi membendung ini melalui peruntukan Akta FINAS 1981 (Pindaan 2013) selain promosi dan hebahan melalui penerbitan iklan hentikan cetak rompak terus diperkasakan dengan jaringan kerjasama pihak pempamer dan penyiar dari masa ke semasa,” katanya.

Filem Dukun arahan Daain Said yang mendapat sambutan luar biasa daripada penonton menjadi mangsa terbaharu gejala cetak rompak.

Dukun yang disimpan selama 12 tahun merupakan sebuah karya fiksyen yang mengisahkan seorang dukun, Diana Dahlan yang didakwa di mahkamah kerana membunuh seorang ahli perniagaan, Datuk Jeffri Jailani.

Kehebatan Diana sebagai seorang pengamal ilmu hitam telah mempengaruhi Jeffri untuk mendapatkan khidmatnya bagi membantu memperoleh kekayaan dan kuasa. - UTUSAN ONLINE