Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Filem tempatan Komersial 
vs kualiti?

ola bola

Sambutan para penonton itu seakan-akan memberi gambaran bahawa sesebuah filem yang berjaya menarik ramai penonton ke pawagam turut dianggap sebagai sebuah karya yang bagus.

Sedangkan hakikatnya ramai pembikin filem tempatan ketika ini sedang "berperang" dalam berkarya,  sama ada mahu mengutamakan kutipan tiket ataupun terpaksa mengetepikan kandungan di dalamnya?

Ini kerana, tidak semua filem yang dikategorikan sebagai "pecah panggung" merupakan naskhah yang boleh dibanggakan dalam menyalurkan mesej bagi membina jati diri dan budaya bangsa.

“Kita kini adalah bangsa yang serba salah. Ramai pembikin filem hari ini yang mahu mencari keuntungan tetapi terpaksa mengorbankan nilai-nilai murni dalam filem,” kata Dr. Mahadi J. Murat kepada Mingguan Malaysia.

Beliau yang merupakan pengarah filem dan pensyarah perfileman di sebuah universiti awam tidak menafikan hakikat itu setelah terbabit secara langsung dalam bidang ini sejak lebih dua dekad yang lalu.

Dr. Mahadi yang pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem Sayang Salmah dalam Festival Filem Malaysia ke-12 pada 1996 misalnya, turut bergelut dalam permasalahan itu sehingga kini.

 

Nilai  Pemikiran

Sayang salmah juga memenangi kategori Filem Bertemakan Kemanusiaan Terbaik dalam Festival Filem Dunia Kuala Lumpur pada tahun 1996 meskipun ia merupakan sebuah karya yang berat.

Meskipun kutipan tiket filem itu tidak mencapai RM1 juta tetapi daripada segi kualiti dan nilai kandungan yang diterapkan telah melayakkannya menerima anugerah-anugerah tersebut.

Itu cerita 20 tahun lalu, manakala pada 2008, Prof. Dr. Hatta Azad Khan pula telah mengarahkan sebuah filem cereka berjudul Wayang yang juga mempunyai nilai-nilai pemikiran tersendiri.

Malangnya, filem itu dikatakan gagal dari segi kutipan tiket apabila turut mengutip tidak sampai RM1 juta sewaktu ia ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara pada November 2008.

Sedangkan hakikatnya, filem yang sarat dengan konflik dan perjuangan dalam membela seni wayang kulit dan budaya bangsa yang semakin tidak popular itu telah diangkat sebagai Filem Terbaik di Anugerah Skrin 2009.

Senario itu menjelaskan tentang jurang yang berlaku antara panel juri yang lebih mengutamakan kualiti berbanding sambutan para penonton yang kebanyakannya pula bersifat pesimistik.

Dalam konteks hari ini, perjuangan filem seperti Sayang Salmah dan Wayang itu wajar diteruskan serta diambil perhatian tetapi perlu juga ada strategi-strategi lain bagi mengimbanginya dengan keuntungan.

Senario sama juga menimpa ke atas filem Jogho arahan U-Wei Haji Saari yang pernah mengungguli kategori Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-14.

Bedah  Siasat

Mungkin para penonton di negara ini masih belum bersedia untuk disajikan dengan filem-filem seperti itu yang penuh dengan nilai-nilai budaya dan seni kreatif yang mencabar minda mereka.

Namun, filem tempatan ketika ini sudah ada formula untuk menarik perhatian para penonton, malah pembikinnya juga terbukti mampu menghasilkan kandungan yang boleh dibanggakan.

"Bedah siasat" wajar dilakukan oleh pihak-pihak terbabit seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi menggabungkan segala formula yang ada.

Tidak kiralah apa juga genre filem sekalipun. Apa yang penting, sesebuah filem itu mestilah mampu menepati cita rasa penonton bagi membolehkannya meraih kutipan tiket sebanyak yang mungkin.

Tetapi dengan tidak mengetepikan kandungan filem yang berkualiti bersama nilai-nilai komersial, sesebuah filem itu berkemungkinan besar mudah menarik penonton berkunjung ke pawagam.

Apatah lagi, dengan jumlah 923 pawagam di seluruh negara yang menyediakan 163,104 tempat duduk ia mampu untuk menampung jumlah filem tempatan yang semakin meningkat.

Malangnya, para pemain industri ini terutama penerbit dan pengarah filem tempatan telah mencipta stigma dalam benak fikiran para penonton dengan hanya mengutamakan nilai-nilai komersial.

Bagi mencapai matlamat itu, pelbagai formula telah dikenal pasti dan terbukti banyak yang berjaya. Antaranya pelakon yang ditampilkan mestilah yang ada kelas daripada segi rupa dan populariti.

Pelbagai gimik juga perlu ada. Kalau ada adegan yang gempak seperti letupan di sana sini itu lebih bagus. Ini kerana, ia akan menambahkan lagi rasa ketakjuban di hati dan minda para penonton.

Itu semua tidak susah. Apa yang penting fulus kena bertimbun-timbun. Rasanya ramai ahli perniagaan yang tidak lokek untuk melabur dalam bisnes yang glamor lagi menguntungkan ini.

Malangnya, tidak ramai pembikin filem terutama penulis skrip yang sanggup membuang masa memerah otak bagi menghasilkan jalan cerita dan dialog yang bernilai tinggi untuk dihayati.

“Kita ada banyak elemen budaya yang belum diterjemahkan, sekali gus dieksploitasikan ke dalam filem seiring dengan tuntutan-tuntutan komersial,” ujarnya Dr. Hatta kepada penulis tidak lama dulu.

Ternyata filem seperti Wayang yang sarat dengan pelbagai metafora termasuk kisah cinta pasangan kekasih yang bisu dan buta memerlukan perhatian serta sokongan semua pihak.

Bijak  menilai

Selain berani menampilkan karya-karya yang mempunyai nilai-nilai estetika dan pemikiran yang tinggi , para pembikin filem tempatan juga harus yakin para penonton mampu untuk menghayatinya.

Pembikin filem sepatutnya dilihat sebagai agen yang boleh mempengaruhi serta membentuk pemikiran masyarakat dalam pelbagai bidang termasuk sosio, budaya dan agama.

Ia sesuai dengan peranan filem sebagai salah satu medium yang sepatutnya juga mampu mempengaruhi masyarakat  dengan menjadikan golongan penonton sebagai pengikut mereka.

Namun, perkara yang sebaliknya berlaku apabila pembikin filem tempatan gagal memainkan peranan sebagai "pengajar", sebaliknya penonton pula yang "mengajar" mereka dalam isu tersebut.

Sedangkan apa yang berlaku ketika ini, karyawan filem lebih terikut-ikut dengan rentak dan selera para penonton tanpa berani mencipta sesuatu trend penontonan dalam kalangan audien mereka.

Dalam isu ini, penonton seharusnya dididik dalam banyak perkara agar bijak dalam menilai, seterusnya mengutamakan perkara-perkara yang bermanfaat termasuk dalam soal menonton filem.

Pendedahan termasuk membandingkan filem-filem dari luar negara sedikit sebanyak boleh membantu para penonton membuat penilaian yang akhirnya mampu memilih filem yang berkualiti.

Semua itu bukan sahaja memerlukan daya kepenontonan yang luas dalam kalangan audien, malah Finas juga seharusnya mengambil tugas itu agar lebih ramai penonton menjadi  golongan yang "celik filem".

Penganjuran tayangan filem-filem yang berkualiti dari Eropah seperti Perancis, Jerman dan Itali harus diperbanyakkan di pawagam-pawagam tempatan dengan sokongan daripada agensi terbabit.

Pengamatan tinggi

Ia bagi memberi peluang kepada para pembikin filem tempatan berkongsi pengalaman tanpa hanya menyelami pemikiran serta cita rasa para penonton dalam ruang yang terhad semata-mata.

“Hanya penonton yang mempunyai daya pengamatan yang tinggi sahaja mampu untuk menjadi penonton yang juga bercita rasa tinggi,” kata pengarah terkenal, U-Wei Haji Saari baru-baru ini.

Sungguhpun begitu, industri perfileman tanah air memperlihatkan peningkatan daripada segi jumlah kutipan tiket yang ketara sejak kebelakangan ini berbanding 30 tahun lalu.

Jika pada tahun 1984 filem Azura yang ketika itu dikategorikan sebagai "pecah panggung" hanya mengutip kutipan tiket RM1.5 juta tetapi hari ini banyak filem lain yang memecahkan rekod itu.

Filem The Journey misalnya, berjaya mengumpul kutipan tiket mencecah RM17.7 juta sewaktu tayangannya dua tahun lalu adalah filem tempatan yang paling tinggi kutipan tiketnya setakat ini.

Dengan kos pembikinan dan promosi filem pada hari ini yang secara purata menelan belanja antara RM1 juta hingga RM1.5 juta boleh membuahkan keuntungan jika kutipan tiketnya tiga kali ganda.

Malah, bilangan filem tempatan juga meningkat iaitu sehingga November 2015 sebanyak 85 filem telah ditayangkan berbanding hanya kira-kira 20 buah setahun pada era tahun-tahun 1980-an. 

Perkembangan itu menunjukkan adanya peningkatan jumlah penerbitan filem cereka tempatan yang meliputi lebih 70 peratus daripadanya merupakan filem-filem komersial.

Seperkara lagi, selain gabungan elemen komersial dan kandungan yang memberi makna mendalam di minda para penonton, faktor pemasaran serta promosi juga wajar dititikberatkan.

Filem Ola Bola terbitan Astra Shaw merupakan naskhah tempatan terbaru yang paling menghampiri realiti itu apabila setakat ini telah berjaya mengaut kutipan tiket melebihi RM12 juta.

Penyatuan Bangsa

Mengambil latar kegemilangan sukan bola sepak negara pada era tahun 1980-an, pembikin filem ini bijak dalam mengeksploitasi suasana zaman itu dengan menampilkan pelakon pelbagai bangsa.

Secara tidak lansgung, filem yang padat dengan semangat kebangsaan dan menjadikan bola sepak sebagai satu subjek penyatuan bangsa juga merupakan formula yang tepat dalam konteks ini.

Ola Bola jelas memperlihatkan kebijaksanaan serta kreativiti pembikinnya dalam memfiksyenkan jalan cerita filem itu dengan tidak bergantung kepada sukan bola sepak semata-mata.

Filem Journey yang mencatat kutipan tiket filem tempatan paling tinggi mencecah RM17.7 juta sewaktu tayangannya beberapa tahun lalu juga menggunakan formula yang hampir sama.

Sepatutnya, lebih ramai penulis skrip dan pengarah filem berbangsa Melayu yang menggunakan formula itu tetapi dengan lebih mengutamakan bahasa ibunda dan budaya bangsa mereka sendiri. Ini kerana, tidak keterlaluan jika dikatakan pembikin Ola Bola dan Journey licik dalam menggunakan formula "1Malaysia" bagi menarik semua lapisan masyarakat menonton filem tersebut.

Walhal hakikatnya, pembikin filem berbangsa Cina ini tidak lupa akan bahasa dan budaya mereka dengan turut menyelitkannya dalam dua filem tersebut sebagai tanda jati diri masing-masing. Tidak keterlaluan juga jika ada yang menganggap pembikin filem

Melayu sebagai rasis  kerana masih terlalu kurang membabitkan pelakon dan cerita tentang kaum-kaum lain dalam naskhah mereka.

Pendekatan ini juga merupakan satu strategi bagi menarik lebih ramai penonton yang bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu tetapi juga kaum-kaum lain termasuk Cina dan India. Dalam isu ini, semua pembikin filem seharusnya berusaha meningkatkan lagi  daya pengetahuan serta kreativiti mereka dalam usaha menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu dan menarik.

Pada masa sama, perlu ada juga usaha bagi meningkatkan pengetahuan dan cita rasa para penonton supaya mereka tidak melihat filem hanya sekadar bahan hiburan semata-mata. Sebaliknya, filem juga wajar dijadikan satu saluran untuk para penonton menimba pengalaman dan seterusnya membina pemikiran bangsa sehingga menyumbang kepada kemajuan negara.

Justeru, para pembikin filem sepatutnya  memikirkan semula matlamat mereka terbabit dalam bidang ini, sekali gus sama ada mampu untuk mengimbangi antara nilai-nilai komersial dan kandungan di dalamnya ataupun tidak.

 

 

 

 

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan