Lebih membanggakan, penangannya telah mengangkat nama Yasmin ke satu tahap yang belum pernah dicapai oleh mana-mana individu seni termasuklah dinamakan antara 10 wanita paling berpengaruh di Malaysia.

Pemergian arwah tiada galang gantinya, namun muncul nama-nama baru dalam kalangan sutradara muda seperti Bernard Chauly yang pertama kali tampil dengan filem Gol Dan Gincu, seterusnya Pisau Cukur, Istanbul Aku Datang dan terbaharu, Manisnya Cinta Di Cappadocia serta seorang lagi pengarah berbakat, Nik Amir Mustapha yang baru sahaja dinobatkan pengarah terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-26 (FFM26) menerusi filem KIL.

Antara kedua-dua pengarah ini, modus operandi mereka dilihat hampir serupa dengan kaedah yang diguna pakai oleh arwah Yasmin iaitu cuba mengangkat filem seni ke satu tahap yang lebih praktikal dan komersial berbanding lambakan filem sampah yang menjadi pilihan penonton.

Bergelar sutradara terbaik, Nik mungkin menggalas satu beban bagi mengekalkan momentumnya di persada filem tempatan. Terdahulu, naskhah KIL yang dipertontonkan memang mempunyai kekuatan tersendiri untuk diangkat selaku filem terbaik termasuklah menggunakan khidmat pelakon hebat Redza Minhat dan Cristina Suzanne yang cemerlang membawakan watak masing-masing.

Namun dalam karya terkininya, Terbaik Dari Langit (TDL), Nik tidak lagi menggunakan Redza sebagai pelakon, tetapi selaku penulis lakon layar dan skrip. Gabungan yang dilihat mantap antara Nik dan Redza serta penerbit muda, Tuan Faisal yang bernaung di bawah produksi hijau, Playground Productions.

Sebelum ia mula ditayangkan di tanah air, hebahan mengenai TDL mula diperkatakan, samalah seperti filem arahan Seng Tat, Lelaki Harapan Dunia (LHD) yang berpeluang dipertontonkan di hadapan khalayak antarabangsa ketika diundang ke pelbagai majlis anugerah luar negara.

Maka dengan itu, dua karya tersebut antara filem yang membuatkan ramai pemerhati filem tempatan teruja untuk menontonnya dek kejayaan yang telah dicapai.

Berpeluang menonton TDL beberapa hari lalu di majlis prebiunya, penulis alami satu perasaan yang amat berlainan. Rasa kagum, bangga, teruja dan sebagainya disebabkan keikhlasan pengarah, barisan pelakon serta tenaga produksinya dalam menyampaikan mesej persahabatan yang menjadi tonggak utama perjalanan cerita.

Sekalipun UFO (piring terbang) dijadikan subjek ilusif kepada plot jalan cerita, olahan yang digarapkan hampir sempurna, cukup serba-serbi dengan pelbagai emosi diadunkan. Penonton seakan-akan turut sama ‘berlakon’ dalam karya tersebut dan merasai kesemua elemen yang diterapkan pengarah. Satu formula yang menjadi dan syabas diucapkan.

Tidak bermaksud untuk mengangkat terlalu tinggi naskhah TDL, namun hakikatnya itulah yang mampu dan seikhlas hati dalam memberi penghargaan serta pandangan terhadap filem ini.

Watak lakonan aktor dan aktres berjiwa seni seperti Bront Palare, Iedil Putra, Amerul Affendi, Megat Sharizal, Nadiya Nisaa, Siti Saleha dan Sharifah Amani dikembangkan dengan begitu cantik untuk mendukung peranan masing-masing sebaik mungkin, tanpa berlakunya ‘insiden’ over-shadow sesama mereka.

Walaupun hampir kesemua pelakon utamanya adalah lelaki, mereka tampil membuai emosi penonton lantas menjiwai perasaan karakter yang didukung sehingga ada babak yang boleh membuatkan audiens menitiskan air mata.

Tema persahabatan yang diangkat filem ini amat terkesan di hati sesiapa jua yang menontonnya, asalkan mereka memahami serta menilai erti sahabat dengan tepat.

Secara keseluruhan, dari mula hingga ke akhir penceritaan, setiap adegan ada kepentingannya tersendiri untuk mengukuhkan plot yang dipertaruhkan Redza dan Nik.

Tiada ruang kosong untuk dikritik membuatkan sebahagian penonton ketika ditanya maklum balas mereka, berasa puas dan berbaloi untuk mengeluarkan wang ringgit bagi membeli tiket untuk menontonnya.

Justeru, berdasarkan temu bual rambang terhadap audiens yang diadakan usai pratonton tamat, mereka berharap akan muncul lebih banyak pengarah seumpama Nik dan Bernard serta beberapa nama lain lagi untuk memeriahkan industri filem tempatan yang semakin suram dan sendu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, kebanyakan sutradara sedia ada seakan syok sendiri, walau pada dasarnya mereka seorang yang bijak dan mempunyai idea kreatif untuk diketengahkan. Sayangnya, bak kekata Inggeris, mereka sekadar ‘talk the talk, but not walk the walk!

TDL yang diterbitkan dengan usahasama Astro Shaw dan Global Station itu dihasilkan di bawah bajet RM1 juta dan bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 25 Disember ini.