George Santayana, seorang filasuf dan novelis mengatakan bahawa mereka yang tidak mengenang sejarah ditakdirkan untuk mengulangi kesilapan mereka. Aristotle, filasuf silam Yunani, menyebut bahawa sesuatu cerita menggambarkan bagaimana seorang manusia sepatutnya menjalani hidupnya. Maksudnya, setiap cerita walaupun disampaikan dalam bentuk hiburan sepatutnya membawa manfaat.

Budaya penceritaan berkembang dalam seni hiburan tanah air kita sendiri, bermula dengan penglipurlara silam kemudian ke wayang kulit, makyung, bangsawan dan sandiwara sehingga ke filem pada awal kurun ke-20. Dan mulai 1934, filem Melayu diusahakan tetapi oleh orang bukan Melayu dari luar negara. Apakah yang boleh kita pelajari daripada sejarah itu dengan genapnya 80 tahun usia filem kita pada 2014?

Slogan-slogan seperti ‘Filem Malaysia ke Persada Dunia’, ‘Malaysia Sebenarnya Asia’ dan ‘1Malaysia’ mengajak kita bersatu di samping meraikan pencapaian pelbagai etnik bangsa. Jarang dilaungkan bahawa segala konsep yang tersebut di atas sebenarnya sudah dipraktikkan oleh karyawan filem Malaysia dari dulu sehingga sekarang tanpa mengetuk gendang dan mengibarkan bendera.

Industri filem kita bermula sebagai sinema Melayu dan menjadi rancak dengan gandingan pelbagai bangsa dan etnik dari luar dan dalam. Ada antara filem-filem ini sudah pun ke persada dunia dan memenangi anugerah berprestij termasuk beberapa filem dokumentari terbitan Malayan Film Unit (kemudian dinamakan Filem Negara Malaysia) yang dibeli oleh negara-negara luar.

Filem kontemporari Malaysia juga melihat banyak syarikat bukan Melayu seperti Berjaya Filem, Red Film dan Metrowealth yang berusaha menerbitkan filem Melayu, yang diarah oleh pengarah bukan Melayu seperti Pansha, Bernard Chauly, Saw Teong Hin, M. Subash, James Lee dan Santosh Kesavan.

Dalam tahun ini beberapa filem membanggakan negara dari segi cerita dan pelaksanaan. Antaranya Hanyut (U-Wei Haji Saari), Vennira Iravugal (R. Prakas), Abang Long Fadil (Syafique Yusof), The Journey (Chiu Keng Guan), Amir & Loqman Pergi ke Laut (Mamat Khalid) dan Lelaki Harapan Dunia (Liew Seng Tat). U-Wei, Mamat dan Chiu sudah pun mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Hanyut kini ditayang di seluruh Indonesia dan The Journey sudah menjelajahi beberapa negara. Lelaki Harapan Dunia dipilih untuk tayangan di banyak festival filem berprestij.

Lelaki Harapan Dunia merupakan satu kesinambungan sejarah awal filem Malaysia iaitu sebuah filem Melayu karya seorang bukan Melayu dan dengan bantuan dana dan sokongan dari luar negara. Seng Tat juga menggunakan pelakon-pelakon Melayu, milieu, subjek dan isu yang dekat dengan orang Melayu.

Cerita-cerita filem Malaysia awal diinspirasi atau diceduk dari beberapa karya hebat dari luar negara. Tetapi hari ini karyawan filem kita melahirkan idea-idea sendiri. Namun khidmat nasihat orang luar negara untuk memperbaiki skrip dilakukan (seperti untuk skrip awal filem Susuk arahan Amir Muhammad dan Naeim Ghalili).

Liew Seng Tat adalah orang baru dalam gelanggang filem. Maka dia mengambil masa dua tahun untuk membangunkan cerita Lelaki Harapan Dunia termasuk mendapatkan khidmat nasihat pakar di festival filem tersohor seperti Sundance agar skripnya menjadi sesuatu yang boleh bersaing dengan filem dari seluruh dunia.

Filem yang baik adalah filem yang menghiburkan, memberikan gambaran budaya hidup sesuatu bangsa dan negara. Lebih penting mesti memperkatakan sesuatu yang berlaku pada zaman karya itu dilahirkan yang menyentuh hati dan akal fikir karyawan itu dan disampaikan dengan penuh hemah dan secara tersirat.

Naskhah Seng Tat boleh dilihat sebagai satu ajakan untuk melihat diri kita pada watak-watak dan isu yang semestinya ada kaitan dengan keadaan sosiopolitik negara. Ini jelas daripada plane of events (yang tersurat) dalam Lelaki Harapan Dunia melalui adegan-adegan yang melibatkan ketua kampung, ahli politik, penguatkuasa, mat rempit dan sebagainya.

Lelaki Harapan Dunia bukan satira politik. Jika dilihat pada plane of interpretations (yang tersurat) sebenarnya tentang industri filem Malaysia – satu subjek yang menjadi kegemaran beberapa karyawan filem (terutamanya Mamat Khalid). Petunjuk awal berada pada tajuk filem. ‘Lelaki Harapan Dunia’ merujuk kepada sesuatu yang mahu diangkat ke tahap yang lebih tinggi yang diiktiraf dunia (hasrat kerajaan yang masih tidak tercapai).

Rumah yang diusung oleh orang kampung adalah sesuatu yang simbolik. Ramai yang terlibat dalam industri namun kini sudah menjadi usang kerana ‘dirasuk’ oleh kisah hantu dan jembalang dan dicemari samseng dan mat rempit. Jika ini berterusan diibaratkan membakar rumah sendiri (lihat adegan akhir filem Lelaki Harapan Dunia di mana ini berlaku). Maksudnya, memusnahkan sinema Malaysia. Dan generasi baru karyawan filem yang berwibawa akan menjadi seperti orang Afrika di dalam Lelaki Harapan Dunia – tidak ubah seperti pendatang haram dan tidak tahu apakah masa depannya.

Dalam filem Wayang, Hatta Azad Khan menampilkan watak seorang yang kononnya alim. Dia membakar bangsal wayang kulit kerana mendakwa patung wayang kulit itu khurafat. Watak orang alim ini merujuk kepada seorang karyawan filem yang menganggap dirinya bijak, yang menolak karya seni dan membawa ‘fatwa’ dia sendiri iaitu filem mesti membawa keuntungan. Walhal dia inilah yang ‘memusnahkan’ industri dengan lambakan karya yang lemah dan yang mencemar imej dan budaya bangsa.

Seperti Mamat Khalid dan beberapa karyawan yang lain, Seng Tat sayangkan industri yang diceburinya. Seng Tat mengutarakan soalan apakah kita tidak sedar bahawa kita sendiri yang menyebabkan industri kita menjadi daif? Jika tidak dapat mengangkat martabat filem kita di negara sendiri, bagaimanakah mahu melangkah ke persada dunia?

Liew Seng Tat tiada jawapan. Dia hanya seorang tukang cerita yang menyampaikan renungannya. Apakah usahanya dan juga rakan-rakan seangkatan dengannya untuk membawa filem Malaysia ke persada dunia akan diiktiraf oleh negara sendiri? Atau apakah sejarah akan berulang dan mereka akan dijulang dan diperkatakan hanya selepas mereka sudah tiada?