Bakal menjengah pawagam bermula 15 Mac depan, filem biografi Datuk Lee Chong Wei (LCW) arahan Teng Bee itu dijangka bakal mencatat sejarah selaku filem paling ramai ditonton untuk direkodkan dalam Malaysia Book of Records.

Presiden CNI, Pek Keng Leong berkata, usahawan-usahawan CNI di China difahamkan amat berbangga dan teruja kerana berpeluang mengambil bahagian dalam acara tersebut, sekali gus menghargai keringat pemain badminton nombor satu dunia itu.

“Filem ini diharapkan menjadi motivasi kepada banyak pihak termasuk warga China di samping memahami budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

“Di samping itu, menerusi penghasilan filem ini, kami juga berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

“Pada masa yang sama, CNI juga mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk sama-sama menonton tayangan perdana versi asli filem ini, 20 minit lebih panjang berbanding yang akan ditayangkan di panggung,” katanya.

Tambah Keng Leong, tiket tayangan boleh ditempah dengan melayari laman sesawang www.myticket.asia atau hubungi terus talian 03-86050195. - UTUSAN ONLINE