Pada sesi prebiu filem berkenaan yang diadakan di ibu kota baru-baru ini, karya terbitan Everything Films itu dilihat sarat dengan lontaran dialog yang begitu sinikal bagi menggambarkan masyarakat Melayu secara amnya.

Bagaimanapun, Seng Tat menjelaskan bahawa isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana segala kritikan yang diselitkan menerusi skripnya sekadar jenaka dan ia bersifat subjektif serta tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.

“Setiap individu mempunyai sudut pandang yang berbeza untuk membuat sebarang penilaian. Tetapi, saya sedikit pun tidak berniat mahu menyelar sesiapa pun atau membangkitkan kemarahan mana-mana pihak.

“Objektif penerbitan karya ini sekadar mahu mengetengahkan budaya mengangkat rumah yang begitu popular pada zaman dahulu dalam kalangan orang Melayu. Buktinya, sekitar 90-an, ada satu iklan komersial yang turut mengetengahkan konsep sama,” katanya.

Filem berkenaan yang dibarisi pelakon Wan Hanafi Su, Azhan Rani, Harun Salim Bachik, Sofi Jikan, Jalil Hamid, Hishamuddin Rais serta ramai lagi mula ditayangkan 27 November lalu di pawagam seluruh negara.

Sementara itu, sebelum mula ditayangkan di Malaysia, Lelaki Harapan Dunia terlebih dahulu dipertontonkan di beberapa buah negara termasuk Itali, Kanada, India, Taiwan, Amerika dan Jepun.

Menurut Seng Tat, dia berbangga apabila karya tempatan mendapat tempat di beberapa festival bertaraf antarabangsa dan menerima maklum balas yang sangat baik.

“Ia turut ditayangkan dengan beberapa buah filem terpilih dari pelbagai negara di seluruh dunia. Satu peluang yang sukar untuk diperoleh terutama bagi pengarah yang baru mahu mencuba dan memasuki industri perfileman Melayu seperti saya.

“Penayangan tersebut ibarat satu penghargaan yang tidak terhingga untuk seluruh krew produksi Everything Films serta pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak,” katanya.

Pada masa yang sama, pengarah berusia 35 tahun itu mengambil masa selama dua tahun untuk menghasilkan skrip filem tersebut sebelum meneruskan penggambaran.

“Keindahan budaya mengangkat rumah itu tiada pada bangsa lain. Ia melambangkan semangat tolong-menolong yang tinggi sesama mereka. Apatah lagi konsep gotong-royong yang unik turut diselitkan ketika budaya itu mahu direncanakan,” katanya.

Lelaki Harapan Dunia berlatarkan sebuah kampung yang pada awalnya begitu aman, namun terjadi sedikit kekacauan akibat salah faham antara penduduk yang menganggap sebuah rumah terbiar yang terletak di belantara berhampiran dihuni oleh penunggu.

Pak Awang yang ingin menghadiahkan rumah tersebut kepada anak perempuannya yang bakal berkahwin sedaya upaya menyangkal dakwaan tersebut, akan tetapi tidak dihiraukan oleh penduduk kampung yang begitu taksub mempercayainya.