Bagaimanapun, ia menghadapi persaingan hebat daripada filem hitam putih dari Hungary, The Turin Horse dan If Not Us, Who yang mengisahkan tentang penubuhan gerila Jerman, Divisyen Tentera Merah (RAF).

Nader and Simin: A Separation secara tersirat menyingkap perbezaan sosial serta tradisi agama Iran yang berjaya diterjemah dengan baik sehingga disifatkan oleh media Jerman sebagai 'Iran Berlinale'.

Festival tersebut membuka tirainya dengan seruan terhadap Iran supaya membebaskan pengarah Jafar Panahi yang dipenjara bagi membolehkan beliau datang ke Berlin untuk mengisi kerusi sebagai juri pada festival filem tersebut.

Panahi dijatuhi hukuman penjara enam tahun, dilarang menerbitkan filem dan keluar dari Iran selama 20 tahun kerana dituduh mencetuskan bantahan pembangkang pada 2009 dan membuat filem tanpa kebenaran.

Pada satu sidang media barisan juri diketuai Isabella Rossellini baru-baru ini, kerusi Panahi dibiarkan kosong sebagai simbolik kepada ketidakhadirannya.

"Ketika keadaan dilihat seolah-olah sukar buat pengarah Iran untuk menyuarakan pandangan di luar daripada kebiasaan masyarakat mereka, kisah Nader dan Simin oleh Asghar Farhadi membuktikan sebaliknya," jelas pengkritik Hollywood Reporter, Deborah Young.

Keputusan akhir pengulas dan juri dalam memilih pemenang Golden Bear biasanya berbeza, tetapi ia boleh memberi kejutan pada majlis penyampaian anugerah esok.

Sementara itu, filem The Turin Horse oleh pengarah Bela Tarr, pula mendapat pujian kerana berjaya mengenengahkan kehidupan seorang petani dengan anak perempuannya yang tinggal sendirian di sebuah rumah ladang terpencil.

Memaparkan babak-babak panjang tanpa dialog, filem tersebut menceritakan kehidupan seharian dua beranak itu yang diulang banyak kali seperti rutin harian mereka mengangkat air, makan kentang, menyalakan api di pendiang, berpakaian dan tidur. - Reuters