Tisha Shamsir

Mula berkenalan sebagai rakan sekerja pada 2012 dan dua tahun kemudian mereka mula rapat. Selepas mendapat restu keluarga, Tisha atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam dan Ady membuat keputusan untuk mengakhiri zaman bujang mereka.

Enam bulan bertunang, pasangan ini akan melangsungkan pernikahan hari ini di Kampung Permatang Sungkai, Pasir Puteh, Kelantan.

“Pada awal penglibatan saya dalam drama Gerak Khas, saya dan Ady tidak begitu rapat. Kami hanya bertegur sapa sebagai rakan sekerja sahaja.

“Kejadian kereta saya rosak pada pagi Hari Raya Aidiladha dua tahun lalu yang merapatkan kami. Ini kerana saya menelefon Ady untuk meminta bantuan dia. Sejak itu kami berkawan baik dan menjadi pasangan kekasih,” ujar Tisha.

Menurut Tisha, dia sama sekali tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan rakan sekerja. Ini kerana ketika diperkenal, Tisha mengakui dia tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadap bakal suaminya itu.

Namun, kesungguhan dan keikhlasan Ady dalam berkawan dengannya membuatkan Tisha selesa dan menerima jejaka yang berasal dari Terengganu itu sebagai kekasih.

“Ketika diperkenal dengan Ady, tidak terlintas dalam fikiran saya untuk bercinta dengan dia. Lama-kelamaan, apabila saya mula mengenalinya dengan lebih rapat, saya nampak keistimewaan Ady. Dia sangat baik hati dan ikhlas menerima saya.

“Saya tengok kesungguhan dia untuk memperisteri saya. Dia juga amat memahami kerja saya memandangkan kami bekerja dalam bidang yang sama. Tidak sangka pula jodoh saya rupanya ada depan mata,” jelasnya.

Mengulas mengenai kerjaya lakonan selepas bergelar isteri, Tisha berkata dia akan lebih aktif berlakon kerana mendapat bantuan suami tercinta. Jika sebelum ini Tisha menguruskan sendiri jadual kerjanya, selepas berkahwin, Ady akan bergelar pengurusnya secara rasmi.

“Saya merancang untuk bergerak aktif dalam lakonan selepas berkahwin. Saya belum terfikir untuk berhenti berlakon sebaliknya saya mahu mengembangkan lagi kerjaya. Kalau ada rezeki, saya ingin kembali aktif menyanyi.

“Lebih-lebih lagi selepas berkahwin, saya akan dibantu oleh suami di mana dia akan menguruskan perjalanan seni saya. Sebelum ini, dia tidak mahu berlebihan membantu kerja lakonan saya kerana kami belum ada ikatan yang sah,” ujar bekas peserta Mentor 6 ini.

Pasangan ini akan mengadakan majlis resepsi dan bersanding keesokan harinya. Manakala majlis resepsi di rumah pengantin lelaki akan berlangsung di Kuala Terengganu, pada 19 Disember ini.