Dalam tulisan di laman blognya, Aamir yang juga pelakon, produser dan juga pengarah filem itu berkata, kutipan filem berkenaan telah berjaya memecah rekod kutipan filemnya pada tahun 2008, Ghajini yang memegang rekod kutipan terbesar sebelum ini.

"Dalam tempoh kurang dari 19 hari, 3 Idiots mengatasi keuntungan Ghajini!!!! Dalam India, luar negara serta di mana saja dan ia meningkat saban masa," katanya dalam blog tersebut, kelmarin.

Semalam, akhbar Business Standard melaporkan, 3 Idiots mencatat kutipan 2.4 bilion rupee (RM176.5 juta) dalam kutipan tiket dalam dan luar negara sejak mula ditayangkan pada 25 Disember lalu berbanding Ghajini yang mengutip 2.25 bilion rupee (RM165.5 juta).

Sementara itu, www.hollywood.com dan Deadline Hollywood yang mengira kutipan box office di Amerika Syarikat memberitahu, filem 3 Idiots setakat ini berjaya mencatat kutipan AS$4.8 juta (RM16.2 juta) selepas dipertontonkan di 120 pawagam seluruh AS.

Sebelum ini, tidak ada mana-mana filem Bollywood yang berjaya mencatat kutipan AS$4 juta (RM13.5 juta).

Kejayaan filem ini telah memberi harapan kepada filem Bollywood selepas kegagalan tahun 2009 disebabkan beberapa faktor seperti selesema babi serta masalah kewangan.

Business Standard melaporkan, kutipan 3 Idiots setakat ini adalah lebih tinggi berbanding kutipan filem Bollywood bagi bulan November termasuk Prem Ki Gazab Kahani.

Kutipan box office India adalah rendah berbanding filem Hollywood kerana harga tiketnya yang rendah.

Pengkritik filem menyifatkan kejayaan filem 3 Idiots bukan sekadar bersandarkan lakonan Aamir yang menarik malah turut disebabkan oleh produksi filem yang berkualiti serta strategi pemasaran yang berkesan.

Keraguan orang ramai terhadap sejauh mana jalan cerita filem itu menyamai dengan filem arahan Chetan Bhagat, Five Point Someone serta kekurangan keluaran filem oleh nama-nama besar lain turut dikatakan membantu kutipannya. - AFP