Didepani dengan sikap optimis, Caprice memberitahu dia tidak menyalahkan Aliff yang pada awalnya telah memarahi penyanyi lagu Dem Girls itu kerana menganggap telah menghina dirinya di Instagram walhal dia sekadar hanya mahu memuji kerana mengambil anak angkat, sama seperti apa yang dilakukan oleh Nur Sajat.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menganggap ia tidak memberi sebarang kesan negatif terhadap kehidupannya malahan pengikutnya di Instagram juga turut bertambah.

“Masyarakat hari ini lebih suka meninggalkan komen tanpa berfikir terlebih dahulu dan salah satu contohnya ialah apa yang telah berlaku pada saya baru-baru ini.

“Kita terlalu cepat menjatuhkan hukuman sebelum membaca dan memahami terlebih dahulu isi kandungan yang cuba dikongsikan.

“Saya hanya menegur pihak yang tak bertanggungjawab yang telah menyunting gambar anak angkat mereka di dalam sebuah rakaman video dan dalam masa sama saya memberi pujian.

“Isu ini dah selesai selepas Aliff sendiri meminta maaf dengan saya kerana dia kurang memahami penggunaan Bahasa Inggeris yang saya gunakan di dalam Instagram itu,” katanya.

Caprice dilihat sering berkongsi buah fikirannya selain bertukar pendapat bersama pengikut di Instagram tentang isu tular serta berita semasa yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Saya tak ada tujuan lain dan niat asal hanya mahu kongsi pendapat. Saya akui ketika ‘diserang’ memang agak terkejut tetapi pada masa sama gembira netizen sudah mula faham makna di sebalik buli siber.

“Sejak empat tahun lalu saya sering buat ceramah dan kempen pendidikan termasuklah buli siber dan saya akui kesan daripada itu jugalah ia membuka mata banyak pihak untuk mulai sedar tentang keburukan buli siber,” ulasnya. - UTUSAN ONLINE