Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob berkata, FFM 30 kali ini akan menyaksikan satu titiik mula kebangkitan industri filem tempatan, khususnya naskhah Melayu berdasarkan jumlah perolehan luar biasa.

“Bermula dengan rekod cemerlang dicatatkan produksi Hantu Kak Limah yang menghampiri angka RM40 juta, filem Munafik 2 juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Bahkan sebelum itu, terdapat beberapa buah filem telah meraih kutipan pecah panggung antaranya KL Special Force, Abang Long Fadil 2, Dukun dan Pulang,” katanya.

Fauzi berkata demikian sewaktu kunjungan hormat ahli jawatankuasa Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), di ibu pejabat Finas, semalam.

Turut hadir, Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin yang turut diiringi barisan ahli jawatankuasa dalam kalangan petugas media daripada pelbagai organisasi.

Dalam pada itu, Fauzi menganggarkan hampir 40 buah filem akan mengambil bahagian dalam festival berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 8 Disember ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Awal tahun ini, pihak Finas rancang FFM 30 akan diadakan pada September. Namun terpaksa dianjakkan ke hujung tahun disebabkan peralihan kerajaan,” jelasnya.

Di samping itu, sehingga Jun lalu, bilangan penonton yang menonton filem tempatan di pawagam mencatat peningkatan sebanyak 31.12 juta orang bagi suku ketiga tahun ini. - UTUSAN ONLINE