Festival ini merupakan program yang julung kali dilaksanakan sempena Malaysia Year of Festival (MyFest) 2015, yang bertujuan menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

Diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL), festival ini bakal menghimpunkan Orang Asli dan peribumi dari tujuh negara iaitu Ghana, Indonesia, New Zealand, Canada, China, Filipina dan Thailand.

Tarikan utama festival ini adalah keunikan budaya Orang Asli dan peribumi dari luar negara yang akan bergabung dengan Orang Asli di negara ini dan masyarakat peribumi dari Sabah dan Sarawak.

Program ini mampu menarik pelancong dari seluruh dunia seperti *Melbourne Indigenous Arts Festival (Australia), Darwin Aboriginal Art Fair (Australia)juga The Global Indigenous Peoples Performing Arts Festival (Taiwan).

Festival ini bakal memaparkan keunikan budaya masyarakat Orang Asli dalam dan luar negara. Ia mewujudkan jaringan masyarakat Orang Asli serantau yang kukuh; serta menjadi salah satu elemen tarikan pelancongan sempena MyFest 2015, Ini juga membantu membangun dan menyemarakkan kebudayaan masyarakat Orang Asli dan peribumi.

Acara utama lain yang dikelolakan oleh JKKN sebelum ini sempena MyFest 2015 ialah [email protected] sepanjang Ramadan yang lalu, Festival Topeng Antarabangsa Malaysia pada 13 hingga 16 Ogos yang lalu di Esplanade, Taman KLCC.

Ini bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya peringkat antarabangsa menerusi penyerlahan seni dan budaya Orang Asli dan etnik tempatan dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Masyarakat Orang Asli mengandungi tiga rumpun bangsa yang terbentuk daripada 19 buah suku kaum. Setiap suku kaum adalah sebuah entiti etnik yang tersendiri dan kaya dengan budaya masing-masing. Mereka wujud sebagai sebuah masyarakat yang justeru dibendung teguh oleh adat dan nilai yang diwarisi daripada generasi dahulu (Juli Edo, nd.)

Siapakah yang dikatakan warga peribumi? Menurut Hasan Mat Nor (1998), umumnya istilah peribumi digunakan bagi merujuk kepada kumpulan-kumpulan etnik natif kepada sesuatu wilayah yang dituntut dan dipertahankan sepenuhnya oleh sesebuah negara di mana mereka ini telah datang di wilayah tersebut lama sebelum wilayah itu wujud sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Menurut data dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), masyarakat peribumi kini meliputi 370 juta orang di seluruh dunia di sebanyak 70 buah negara.

Masyarakat peribumi ini mengekalkan tradisi yang unik, sistem sosio budaya, ekonomi dan politik yang jelas berbeza dari komuniti yang dominan di negara asal mereka. Mereka merupakan penduduk asal wilayah atau negara tersebut tanpa garis persempadanan geografi moden di mana pada ketika itu, etnik atau bangsa lain datang untuk urusan perdagangan dan sebagainya sehingga pembentukan satu wilayah atau negara moden berlaku. Di Malaysia masyarakat peribumi juga dikenali sebagai bumiputera.

Kamus Dewan memberi takrif peribumi sebagai ‘penduduk asli’ dan juga bumiputera (DBP, 1964). Definisi yang hampir sama diberikan kamus Longman (edisi kedua, 1997) yang mentakrifkan peribumi sebagai aboriginal iaitu para penduduk asal (aborigines) yang telah wujud di sesuatu negeri sejak awal lagi. Dalam konteks ini, dapat difahami bahawa peribumi merupakan istilah umum yang digunakan bagi merujuk kepada semua kelompok manusia yang dianggap sebagai penghuni asal atau terawal di Malaysia.

Manakala, di bawah istilah peribumi ini barulah muncul dua istilah yang lebih spesifik digunakan bagi membezakan status kumpulan-kumpulan ‘para penduduk asal’ ini iaitu bumiputera dan Orang Asli.

Hasan Mat Nor (1998) telah mengemukakan takrif masyarakat peribumi menurut klasifikasi perundangan di mana terdapat dua kelompok warga peribumi di Malaysia iaitu bumiputera dan Orang Asli.

Menurut beliau, kumpulan kaum yang diklasifikasikan sebagai bumiputera adalah meliputi Orang Melayu di Semenanjung; Orang Melayu, Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit, Melanau serta penduduk-penduduk natif lain di Sarawak; dan Orang Melayu, Kadazan,Murut, Dusun, Bajau dan penduduk-penduduk natif lain di Sabah.

Manakala Orang Asli pula meliputi tiga kelompok etnik utama dikenal sebagai Negrito, Senoi dan Melayu-Proto (Hasan Mat Nor, 1998; Sunaidin, 1997). Pengkaji terkemudian seperti Nicholas (2000) mentakrifkan panggilan ‘Orang Asli’ bermaksud ‘tulen’ atau ‘masyarakat pertama’ yang mendiami Semenanjung Malaysia.

Festival Kesenian Orang Asli dan Peribumi Antarabangsa (FKOAP) bermula hari ini hingga 25 Oktober di Taman Tasik Titiwangsa dengan pengisian seperti Persembahan Utama (Persembahan Jemputan Negara), majlis pelancaran bersama oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

Persembahan sampingan turut diadakan di di KLIA 2, KL Sentral, Sogo dan Pasar Seni.

Pameran, Demonstrasi dan Jualan. FKOAP menghimpun hampir 300 orang peserta masyarakat Orang Asli dan Peribumi dari dalam dan luar negara.

Masyarakat Orang Asli dan peribumi dari Malaysia diwakili oleh Kumpulan Terenloi Post Raya, Simpang Pulai, Perak; Kumpulan Bahbola (Orang Asli Suku Kaum Semai) Gombak, Selangor; Kumpulan Jo’oh, (Orang Asli Mahmeri) Pulau Carey,Kumpulan Sewang Lanok (Orang Asli Temuan), Jelebu, Negeri Sembilan, Kontijen Semelai Bera (Orang Asli Semelai), Bera, Pahang, Kumpulan Orang Asli Seletar, Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, Johor, Kumpulan Seni Tari Keningau, Sabah danKumpulan Tari Etnik Iban, Dayak Cultural Foundation (DCF), Kuching, Sarawak. Manakala kumpulan Orang Asli dan Peribumi antarabangsa diwakili oleh Thailand, Filipina, New Zealand, Canada, Ghana, Indonesia dan China.

Pameran, Jualan dan Demonstrasi Hasil Seni Kraf dan Produk Peribumi dan Orang Asli di lokasi utama acara iaitu di Taman Tasik Titiwangsa di mana turut disediakan perkampungan’ dengan replika rumah-rumah unik Orang Asli dan peribumi untuk para pengunjung berpeluang merasai sendiri berada dalam komuniti mereka.

Persembahan dan perkampungan unik di Taman Tasik bermula dari jam 10 pagi hingga 10.30 malam. Apa yang lebih menarik, turut diadakan Persembahan Malam Unggun Api pada malam 23 dan 24 Oktober ini bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam.