Fazura memilih berdiam diri kerana tidak mahu kemelut pernikahannya didebatkan secara berpanjangan di mana-mana media arus perdana mahupun media sosial sementelah kini, dia sedang mendakap kebahagiaan daripada lelaki yang menjadi dambaannya.

“Sayalah wanita paling bahagia ketika ini. Alhamdulillah, saya dikurniakan seorang suami yang sangat penyayang, memahami dan sangat ringan tulang membantu membuat kerja rumah.

“Saya rasa seronok sangat bangun pagi, menyediakan masakan buat suami dan menunggu suami pulang dari kerja,” Fazura berkongsi rutin harian selepas bergelar isteri kepada Fattah dalam satu pertemuan dengannya kelmarin.

Kemanisan berumah tangga jelas aktres berusia 34 tahun itu sukar diterjemahkan dengan kata-kata sehinggakan setiap masa dan ketika, dia mahu didampingi lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu.

Sehinggakan Fazura mengakui, untuk ‘berpisah’ sementara walau ke bilik air pun dia sudah merindui Fattah.

Suami yang kini mengisi kekosongan relung-relung jiwanya itu disifatkan Fazura, sebagai seorang lelaki yang ideal.

“Paling utama dia sangat baik, rapat dengan keluarga dan menyayangi kanak-kanak. Saya bersyukur kerana Allah menghadirkan Fattah dalam hidup saya,” kata Fazura mengucapkan kesyukuran kerana kebahagiaan kini menjadi miliknya.

Disatukan sebagai suami isteri dalam majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, Fazura buat kali pertama tampil mempertahankan tindakan dia dan Fattah memilih tidak menghebahkannya kepada umum disebabkan permintaan keluarga.

Sejujurnya, Fazura menyedari media dan peminat antara tulang belakang kejayaannya dalam gelanggang seni sepanjang lebih sedekad dia menjadi anak seni.

Namun dalam hal melibatkan soal penyatuan dua jiwa, bintang utama filem Qaisy dan Laila itu berkata, dia lebih senang majlis pernikahan diadakan secara tertutup khusus untuk ahli keluarga dan sahabat karib sahaja.

“Saya faham ramai yang marah, mengkritik dan mengecam tindakan saya dan Fattah bernikah tanpa mengadakan sidang akhbar dan sebagainya. Hakikatnya ramai yang tidak tahu saya sebenarnya seorang yang lebih selesa tidak menghebahkan hal-hal peribadi kepada umum. Saya tidak nampak keperluan menghebahkan ke seluruh dunia hal perkahwinan saya.

“Begitu juga dengan keluarga saya. Yang menjadi artis ialah saya. Ibu serta seluruh ahli keluarga saya bukan artis. Bahkan, anda semua jarang melihat wajah ahli keluarga saya di media atau media sosial. Jadi, salahkah sedikit ruang yang bersifat peribadi diberikan kepada saya dan keluarga?

“Lagipun, bukankah saya sudah berjanji akan berkongsi cerita kahwin selepas semuanya selesai berjalan. Dan saya serta Fattah sudah pun menunaikannya. Besar harapan saya isu ini tidak lagi menjadi bahan perdebatan. Semuanya sudah selesai,” ujarnya yang tenang menjawab soalan-soalan ‘panas’ yang dilontarkan kepadanya dalam pertemuan itu.

Pada masa sama, Fazura memberitahu, dia dan suaminya amat memahami kerjaya wartawan yang mahu berkongsi hal-hal yang gembira mengenai artis-artis tanah air termasuk dirinya.

Bagaimanapun dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan diri dan keluarga, Fazura berterus-terang bahawa tiada keperluan untuk dia berkongsi segala-galanya kepada umum termasuk wartawan dan peminat.

“Media sudah seperti keluarga saya juga, cuma dalam hal perkahwinan baru-baru ini, saya dan keluarga mahukan acara yang lebih intim.

“Majlis pernikahan itu sesuatu yang sangat bersifat peribadi. Kami tiada niat lain yang mahu disembunyikan,” ujarnya memohon pengertian rakan-rakan wartawan.

Belum sedia timang cahaya mata

LUMRAH bagi setiap pasangan pengantin baharu, mereka pasti tidak akan terlepas daripada ditanya apakah sudah bersedia menerima kehadiran cahaya mata.

Bagi Fazura, sejujurnya dia dan Fattah belum bersedia bergelar ibu dan bapa dalam waktu terdekat lantaran tugasan kerja mengikat mereka daripada memberi komitmen kepada anak.

Namun seandainya ada rezeki yang telah ditakdirkan, baik dia dan Fattah, mereka menerimanya dengan hati yang terbuka.

“Saya tahu jawapan yang saya berikan agak klise iaitu kami tidak menolak rezeki yang Allah tentukan.

“Cuma buat masa sekarang, kalau boleh kami nak tangguh dulu kerana masing-masing memang sibuk sehingga tahun depan. Lagipun biarlah kami habiskan masa bersama dulu,’ jelas penyanyi yang kini 
sedang popular dengan lagu Bisa Apa dan Sayangi Dirimu itu lagi.

Pada waktu terdekat, Fazura dan Fattah akan terus meraikan musim-musim bahagia mereka di United Kingdom dan beberapa buah negara Eropah lain bagi percutian bulan madu.

Sementara sekitar Mac atau April depan, pasangan itu juga akan mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka.

“Itu rancangan kami. Doakan semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.

Bimbang terjerat rasa riak, sombong

SEMENJAK dihebohkan bercinta sehinggalah menamatkan hubungan kasih sebagai suami isteri, pasangan sama cantik dan sama padan ini disatukan netizen menjadi Fattzura umpama pasangan masyhur di Hollywood seperti Brad Pitt-Angelina Jolie (Brangelina) serta David Beckham-Victoria Posh Beckham.

Mengakui jenama Fattzura kini semakin disenangi ramai, Fazura memberitahu, apabila terlalu banyak perhatian diberikan kepada dia dan Fattah, yang dibimbangkan ialah kemasyhuran akan menjerat mereka dalam rasa bongkak dan riak.

Kata Fazura, perlahan-perlahan dia dan Fattah akan berusaha untuk memastikan perhatian masyarakat terhadap mereka akan berkurangan.

“Saya melihat perhatian dan tumpuan orang ramai kepada kami sebenarnya satu ujian. Paling saya bimbang ialah kemasyhuran akan menjadikan saya manusia yang riak dan sombong. Begitu juga dengan Fattah. Oleh kerana itu, insya-Allah kami berdua akan sentiasa mencari ruang untuk mengurangkan perhatian orang ramai kepada kami,” kata Fazura.

Fazura juga berpendapat, selepas mendirikan rumah tangga, dia dan Fattah juga akan membataskan kemunculan bersama dalam mana-mana karya.

Bahkan, aktres kelahiran Pekan, Pahang juga telah berbincang dengan suaminya yang masing-masing akan terus membina karier seni bersandarkan kepada imej dan jenama diri masing-masing tanpa menumpang populariti mana-mana pihak.

“Selama ini saya dan Fattah membina kerjaya atas kerja keras dan imej kami sendiri. Saya fikir, ada baiknya kami berdua teruskan kerjaya seni dengan nama masing-masing.

“Yang penting, kami tahu kedudukan kami semasa di dalam rumah dan di lokasi penggambaran,” ujarnya mengakhiri perbualan. - Gambar Koleksi peribadi Fazura