Penyanyi lagu Apa Sebenarnya mengakui suka meneroka satu perkara baharu kerana dari situ dia tahu kemampuan sebenar dalam dirinya. Antara aktiviti yang diminati adalah bermotosikal secara konvoi, menyelam ke dasar lautan dan melakukan aktiviti dalam hutan.

Semua aktiviti berkenaan mencetuskan kebahagiaan tersendiri sekali gus menjadikan hidupnya lebih bermakna. Yang menjadikan wanita ini bebas daripada berfikir sebarang permasalahan

 

yang membebankan fikiran.

“Kehidupan manusia ini sentiasa diuji dengan pelbagai perkara. Kadangkala ujian itu tidak mampu dijangkau pemikiran. Tapi kena bijak mengawal cabaran itu, jangan sampai ia membebankan fikiran dan membantutkan aktiviti seharian.

“Melakukan aktiviti lasak adalah cara terbaik untuk melepaskan amarah yang tersimpan dalam jiwa. Kita cabar diri kita dan buat sehabis baik,” katanya berkongsi amalan sihat yang menjadikan dirinya lebih berkeyakinan pada usia 49 tahun.

Dalam banyak aktiviti lasak yang pernah dilakukan, penyanyi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu mendedahkan yang dia tidak pernah berzumba. Seumur hidupnya aktiviti berkenaan langsung tidak diberi perhatian kerana merasakan tiada cabaran di situ.

Bagaimanapun atas dasar ingin tahun, Fauziah menyatakan persetujuan untuk menyertai program MHE Ronggeng Zumba Selebriti yang bakal berlangsung di Dewan Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 30 Mac ini.

Di situ, dia bakal mengukur tahap kecerdasan diri mengikut pergerakan tarian dan aerobik oleh kumpulan zumba terlatih dalam tempoh diberikan. Sama ada dia benar-benar cerdas, kita tengok sahaja nanti kemampuan dirinya nanti.

“Barangkali saya terlepas pandang tentang kehebatan aktiviti zumba selama ini dengan memberi perhatian kepada aktiviti lain. Saya pun tak tahu macam mana boleh jadi macam itu.

“Namun begitu, saya tidak terlewat untuk menyertai aktiviti sebegitu pada masa sekarang. Jangan ditanya macam mana pergerakan tarian saya itu, kayu atau apa, tengok sahaja nanti,” katanya lagi.

Program MHE Ronggeng Zumba Selebriti itu adalah anjuran organisasi hub hiburan seranta, Media House Entertainment (MHE) dengan kerjasama KL Zumba Marathon 2019 (KLZM2019).

Sekumpulan tenaga pengajar berpengalaman akan bergilir-gilir melakukan aktiviti berkenaan. Selain Fauziah, anggota kumpulan Elite, Watie turut menyatakan persetujuan untuk mengikuti program yang mempromosikan aktiviti sihat itu.

Bayaran penyertaan dikenakan sebanyak RM30 meliputi barangan cenderamata daripada penaja akan dikenakan kepada peserta berminat.


DIALOG BERSAMA MENTERI

SELAIN mengikuti aktiviti mengeluarkan peluh itu, penyanyi lagu Dia ini juga melahirkan rasa teruja untuk menyokong program Pembangunan Usahawan Penggiat Seni yang diadakan pada petang hari yang sama.

Pelakon teater Rubiah ini merasakan peluang baik tersebut tidak wajar disia-siakan buat semua golongan selebriti. Menceburi bidang perniagaan adalah satu usaha untuk mengukuhkan ekonomi golongan berkenaan pada masa depan.

Sebagai penggiat seni yang lebih tiga dekad dalam industri hiburan, Fauziah mempelajari banyak perkara dalam kehidupan. Terutama dalam perancangan ekonomi, golongan tersebut perlu ada perancangan lebih baik untuk simpanan di akhir nanti.

Pemilik Studio Dia yang terletak di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor ini juga menanam impian untuk menceburi bidang perniagaan secara meluas. Jika boleh, bisnes berkenaan berada di luar bidang hiburan yang menjadi profesionnya sejak dahulu.

“Kalau benda baik, tak salah kalau kita menyatakan sokongan. Sebab selama ini pun, saya simpati melihat ada antara rakan artis yang kurang bernasib baik di hujung kerjaya mereka.

“Jadi tidak salah kalau kita intai peluang lain berniaga. Tidak kiralah sama ada dalam bidang hiburan atau kalau ada kepakaran dan bajet lebih, boleh menceburi bidang lain,” katanya.

Program Pembangunan Usahawan Penggiat Seni ini akan dirasmikan sendiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof yang turut meluangkan masa sepetang bersama yang hadir.

Segmen itu menjadi medan pengumpulan maklumat kepada artis dan mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan.

Peluang itu terbuka bukan sahaja kepada individu yang telah menjalankan perniagaan malah buat yang sedang berjinak-jinak dalam perniagaan. Untuk yang masih ragu-ragu tentang hala tuju perniagaan yang hendak diceburi, mereka turut dialu-alukan ke program ini bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sesi Kopi Kopi Bersama Pak Wan akan diadakan secara santai selepas majlis berakhir. Kesempatan itu boleh digunakan golongan penggiat seni untuk berbincang dan menanyakan apa sahaja persoalan berkaitan bidang perniagaan.

Semua jenis maklumat disalurkan pada satu tempat kerana semua agensi kementerian terbabit akan hadir untuk menyalurkan maklumat. Antara agensi kementerian yang terlibat adalah Tekun Nasional dan Bank Rakyat yang memberi penerangan tentang fungsi agensi demi kebaikan bersama.

Objektif utama program Pembangunan Usahawan Penggiat Seni ini adalah untuk memberi peluang perniagaan bersesuaian untuk diceburi penggiat seni.

Selain itu, ia memberi ruang kepada pihak kementerian memberi penerangan tentang geran, bantuan atau khidmat nasihat berkaitan.

FINALIS yang berjaya akan membawa nama Malaysia ke Hollywood seterusnya bersaing bersama peserta lai
FINALIS yang berjaya akan membawa nama Malaysia ke Hollywood seterusnya bersaing bersama peserta lain dari seluruh dunia.

FINAL WCOPA

PADA tarikh 30 Mac turut diadakan pertandingan akhir Worldstars Championship Road To Hollywood (WCOPA) yang menyaksi­kan 55 orang peserta bakal bersaing ke peringkat final.

Di Dewan Utusan, kesemua mereka akan mempamerkan kebolehan bagi melayakkan diri bertanding di Amerika Syarikat (AS) itu. Penilaian mengikut kategori nyanyian, peragaan, lakonan tarian, kemahiran bermain alat muzik, bakat membuat silap mata serta beat box.

Selain pingat emas, perak atau gangsa, pemenang juga bakal menerima habuan wang tunai sebagai biasiswa bernilai RM20,000, RM12,000 dan RM6,000.

Pada pentas final itu juga, penilaian dilakukan oleh 20 orang juri terdiri daripada penggiat seni dan profesional untuk memilih juara.

Sebanyak 71 buah negara dari seluruh dunia bakal menyertai pertandingan WCOPA yang diadakan di Long Beach Performing Art Center, Hollywood, AS. Pertandingan tersebut berlangsung selama 10 hari bermula 12 hingga 21 Julai depan.