Bagi Fauziah atau lebih dikenali sebagai Jee, apabila diundang oleh Allah untuk menjadi tetamuNya di Tanah Suci, lebih baik dia merebut kesempatan itu kerana itulah detik yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam.

Dia yang terpilih sebagai bakal jemaah haji pada masa sama tidak mampu menyembunyikan rasa sebak dan terharu kerana dipilih menjadi tetamu Allah.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, air mata Fauziah atau lebih dikenali sebagai Jee tidak habis tumpah-tumpah apabila saudara-mara dan sahabat-sahabat karibnya saling bersalaman dan menitipkan pesanan.

Fauziah yang berangkat ke Tanah Suci ditemani ibu tercinta, Ngasiah Ahmad memberitahu, dia benar-benar terharu kerana ramai kenalannya datang ke KLIA untuk mengucapkan selamat jalan kepadanya.

“Syukur pada Allah kerana saya diundang oleh Allah untuk mengerjakan haji. Tidak tahu bagaimana rasanya untuk menyatakan rasa gembira. Dalam masa saya juga sebak kerana tidak sangka menerima undangan ini,” kata Jee kepada UTUSAN ONLINE.

Kali pertama berkunjung ke Baitullah, Jee mengakui, dia amat berdebar kerana belum pernah melalui pengalaman di sana.

“Namun, melalui pembelajaran dan nasihat teman-teman saya yakin dapat melaksanakan ibadah dengan tenang dan lancar. Doakan saya semasa di sana ya,” pinta Jee lagi.

Jee juga memberitahu, dia pasti akan menjadikan perjalanan rohani itu sebagai suatu pengalaman yang manis dalam hidupnya kerana berpeluang membawa bersama ibunya untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu.

“Alhamdulillah, saya tidak dapat nak gambarkan betapa bersyukurnya saya kerana berpeluang mengerjakan haji bersama ibu saya,” ujar penyanyi yang pernah masyhur dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu lagi.

Jee dan ibunya bakal menghabiskan masa selama lebih tiga minggu bagi melaksanakan ibadah-ibadah yang dituntut.

Selain Jee, turut berangkat dengan pesawat yang sama ke Jeddah, Mekah semalam ialah penyanyi terkenal, Datuk Nassier Wahab. - UTUSAN ONLINE