Menurut bintang Hero Seorang Cinderella itu, dia sentiasa bersikap positif dan mengambil kata-kata negatif sebagai penguat semangat untuk dirinya terus berjaya dalam industri.

“Saya sudah cakap sebelum ini, apa yang saya kecapi sekarang adalah hasil kata-kata negatif yang dilempar pada saya sebelum ini.

“Sedikit pun tidak wujud rasa dendam kerana prinsip saya adalah sentiasa memaafkan sesiapa sahaja dan mengelakkan permusuhan,” jelasnya.

Fattah sebelum ini sering dikritik sebagai ‘pelakon kayu’ namun, lama kelamaan lakonannya semakin menyerlah dan mendapat sambutan baik daripada peminatnya.

Tidak hanya gaya lakonannya yang dikritik, bahkan buku yang memuatkan kata-kata motivasi tulisan Fattah juga mendapat kritikan kerana isi kandungannya yang dikatakan syok sendiri walaupun mencatatkan buku paling laris jualannya.

Sementara itu, aktres Fazura yang bergandingan dengan Fattah dalam drama Hero Seorang Cinderella turut tidak terlepas daripada dicemuh dan dikritik.

Bagi pelakon cantik itu, seperti mana Fattah yang tabah dan bersabar dengan segala kritikan dan cemuhan, dia juga lebih selesa berdiam diri.

Bagi Fazura, apa yang boleh dilakukan bila berdepan dengan situasi kecaman sebegini hanyalah bersabar dan bersangka baik.

“Saya cakap dengan Fattah, kita tidak boleh baca isi hati orang lain. Jadi, kita terima sahaja perkara negatif secara terbuka dan terus bersabar,” jelasnya.

Pasangan Fattah dan Fazura yang digandingkan dalam drama popular itu kini mendapat gelaran Fattzura iaitu gabungan dua nama mereka yang sedang mencetus fenomena. - UTUSAN ONLINE