Dengan sekali lafaz, Fazura, 34, bergelar isteri kepada Fattah, 27, dalam majlis yang berlangsung pada pukul 9.50 malam yang dihadiri kaum keluarga serta rakan-rakan terdekat pasangan itu.

Fattah dan Fazura sebelum ini mengumumkan mereka mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu.

Pernikahan itu sekali gus melenyapkan pelbagai spekulasi yang diperkatakan oleh peminat-peminat dan media tempatan.

Fattah dan Fazura juga berpegang dengan pendirian mereka untuk mengadakan majlis akad nikah secara tertutup tanpa kehadiran wartawan seperti lazimnya yang dibuat oleh artis-artis popular sebelum ini.

Pengurusan pasangan ber­kenaan hanya mengedarkan kenya­taan akhbar sejurus selepas pernikahan kedua-duanya berlangsung.

Fattah dan Fazura sebelum ini menafikan laporan yang mendakwa mereka telah bernikah pada 14 November sebelum berangkat ke Tanah Suci dengan keluarga masing-masing.

Sebaliknya, dalam sidang akhbar sejurus kembali dari Mekah, Fattah dan Fazura hanya memaklumkan akan bernikah dalam waktu terdekat selain membuat pengakuan telah bertunang.

Kisah cinta Fattah dan Fazura mula berputik selepas kedua-duanya digandingkan dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella.

Cinta mereka menjadi bahan perbualan dalam kalangan peminat setia kedua-dua pelakon itu sehingga nama mereka berdua digabungkan berserta tanda pagar #Fattzura.

Fattah juga pernah membuktikan kasih dan sayangnya pada Fazura dengan menghadiahkan 500 kuntuman bunga mawar ketika sambutan ulang tahun pelakon wanita popular itu September lalu.

Ketika mengerjakan umrah pada 15 hingga 23 November lalu pula, ada dakwaan yang mengatakan pasangan itu sudah bernikah ketika berada di Tanah Suci.