Kedua-dua pelakon itu sepakat mengunci mulut tanpa memberi pengesahan sama ada mereka benar-benar sudah bernikah malam tadi atau bertunang di sebuah rumah dipercayai kediaman nenek pelakon wanita itu di Pe­taling Jaya, Selangor seperti yang digembar-gemburkan.

Dalam masa sama, pasangan pelakon drama bersiri Hero Seorang Cinderella itu yang dite­mani keluarga masing-masing berlepas ke Mekah hari ini untuk menunaikan ibadah umrah.

Sejak malam tadi juga, laman sosial In­stagram Fattah dibanjiri ucapan tahniah oleh lebih 1,500 pengikutnya selepas aktor itu memuat naik foto Kaabah de­ngan kapsyen “semoga semuanya dipermudahkan.”

Ucapan tahniah daripada netizen dan peminat itu seakan memberi andaian pernikahan itu dilakukan mereka bagi memudahkan Fattah membawa Fazura mengerjakan umrah bersama selepas sah bergelar suami isteri.

Berkemungkinan besar pasa­ngan berkenaan melangsungkan pernikahan di Mekah apatah lagi dengan kehadiran keluarga terdekat Fattah dan Fazura dalam rombongan itu.

Sebelum ini, Fattah, 27, dan Fazura, 34, dilaporkan telah memilih tarikh 13 November lalu untuk mengikat tali pertunangan namun apabila tiba tarikh itu, tiada pengumuman mengenainya dibuat mereka.

Sekalipun beza jarak usia antara Fattah dan Fazura sebanyak tujuh tahun, namun perkara itu tidak menjadi alasan buat aktor tampan itu untuk menerima jodoh jika ditakdirkan.

“Saya terima sahaja siapa bakal isteri sama ada yang lebih muda atau lebih tua daripada saya. Apapun, harap semua pihak dapat doakan yang baik-baik sahaja buat kami,” katanya mengulas tentang kemesraan yang terjalin antara dia dan Fazura.

Semenjak beberapa bulan lalu, hubungan Fattah dan Fazura menjadi bahan perbualan dalam kalangan peminat mereka.

Fattah secara terbuka pernah mengungkapkan Fazura merupakan seorang wanita menakjubkan yang pernah ditemui dalam hidupnya.

Fazura juga sebelum ini me­ngakui Fattah merupakan lelaki yang paling dekat dengannya.

“Buat masa ini, ha­nya Fattah saha­ja yang berani men­dekati sa­ya, malah sejujurnya saya selesa berkawan de­ngannya. Mung­kin sebab kami pernah berlakon bersama, selalu berjumpa jadi keserasian dan keselesaan itu masih ada,” ujar pelakon jelita kelahiran Pekan, Pahang itu lagi.

Persoalan sama ada pasangan itu sudah ber­kahwin atau bertunang hanya akan ter­jawab sekembali mereka dari Tanah Suci.

Fattah dan Fazura bakal mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan hubungan mereka pada 23 November ini.

“Berkaitan per­ka­ra ini, pihak Fat­tah Amin dan Nur Fazura akan me­ngadakan satu sidang akhbar pada 23 November 2017. Lokasi serta masa acara itu akan dikongsikan dalam waktu terdekat,” kata wakil pengurusan Fattah dan Fazura dalam satu kenyataan.