Sehari selepas bergelar suami kepa­da Fazura, aktor itu berkata, tiada apa yang mengembirakannya selain meng­ha­rapkan seluruh peminat dan ma­sya­rakat mendoakan perkahwinan me­reka.

“Saya amat bersyukur dan gembira dengan rezeki serta jodoh yang telah ditakdirkan ke atas diri saya. Ini semua adalah kehendak-Nya.

“Dalam masa yang sama, saya juga mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua pihak untuk menggalas tang­gungjawab ini,” kata Fattah kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, dalam satu acara ber­asingan, Fattah, 27, memberitahu, tu­­juan dia dan Fazura, 34, mengadakan majlis akad nikah secara tertutup semalam sebagai menghormati permin­taan keluarga kedua-dua belah pihak.

Pasangan yang pernah di­­gandingkan dalam drama ber­siri Hero Se­orang Cinderella itu juga mene­gaskan, dia dan is­te­rinya juga tidak berniat menyembunyikan urusan pro­sedur serta perihal per­nikahan kerana perkara itu disifatkan terlalu peribadi.

“Kami melakukannya atas permin­taan keluarga dan kami sangat berharap agar rakan media serta peminat menghormati permintaan tersebut.

“Selain itu, soal prosedur permoho­nan nikah, kami mahu ia menjadi per­kara peribadi. Kami akan kongsi perkara yang kami rasa boleh dikongsi. Saya berterima kasih atas doa daripada semua pihak,” kata pelakon tampan itu lagi.

Fattah turut mendedahkan, dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel mewah di ibu negara semalam, mereka berdua dinikahkan oleh abang kandung Fazura yang hanya dikenali sebagai Yus serta disaksikan oleh jurunikah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ustaz Nasir.

Mengenai beliau dan isteri seolah bermain teka-teka dengan media mengenai tarikh pernikahan, kata Fattah, jodoh mereka berdua merupakan rahsia Allah, justeru tidak adil untuk masyarakat mudah membuat kesimpulan ke atas sesuatu perkara.

“Dari dahulu lagi, apa yang saya tekankan kepada media dan juga peminat ialah berfikir yang baik-baik dan doa yang baik-baik untuk kami,” katanya,

Mengulas komen netizen yang mempertikaikan pernikahan dia dan Fazura semalam, pelakon drama bersiri Coffee Prince ini berkata, mereka tidak mampu menutup mulut orang yang bercakap soal ter­se­but.