Menjadikan Nabi Muhammad SA.W, sebagai contoh, Fattah yang bakal mengerjakan ibadah umrah pada 15 November ini secara terbuka menganggap usia bukanlah halangan untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya terima sahaja siapa bakal isteri sama ada yang lebih muda atau lebih tua daripada saya. Jodoh itu rahsia Allah dan Nabi Muhammad pun beristerikan Siti Khadijah yang berbeza umur 15 tahun.

“Apapun, harap semua pihak dapat doakan yang baik-baik sahaja buat kami,” katanya mengulas tentang kemesraan yang terjalin antara pasangan hero dan heroin telefilem Wanita Terindah iu.

Sementara itu, berbicara lanjut mengenai pemergiannya ke Mekah,  bagi menunaikan umrah, Fattah akan berangkat ke sana dengan ahli keluarga dan pengurusnya.

Bagaimanapun, pelakon tersebut enggan mengulas sama ada Fazura juga akan mengikutnya ke Mekah, malah meminta pihak media bertanyakan terus kepada aktres berkenaan.

“Lebih baik Fazura sendiri yang memberikan jawapan. Saya cuma boleh sahkan, hanya saya, pengurus dan keluarga saya sahaja buat masa ini,” tambahnya.

Fattah berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar sempena majlis ramah mesra bersama peminat yang dianjurkan AJ De Parfum di Subang Impian, di sini hari ini.

Dalam perkembangan terkini, jenama wangian tersebut menyaksikan Fattah telah menyambung kontraknya sebagai duta produk bagi tahun kedua berturut-turut.

Pada masa sama, pengasas produk berkenaan, Mohd. Azrul Fauzi Baharun menjelaskan, pihaknya bersetuju meneruskan kerjasama dengan Fattah memandangkan berpuas hati terhadap komitmen yang diberikan aktor tersebut.

“Ini adalah tahun kedua kami menjalinkan kerjasama dan harap boleh berterusan selama yang boleh. Fattah pun tiada masalah memberikan komitmen penuh sebagai duta,” katanya. - UTUSAN ONLINE