Menerusi laman sosial Instagram miliknya hari ini, Fasha menjelaskan bahawa Aidil adalah seorang sahabat yang bukan sahaja mampu membuatnya gembira dan ketawa, malah kedua-dua anaknya, Putra Rayfal Ramli, 4 dan Putri Raysha Jemaima, 3.

"Dia membuatkan saya rasa sungguh selesa kerana saya juga seorang wanita yang sukakan kesederhanaan. Dia jugalah sahabat saya yang mampu buatkan kami anak-beranak gembira dan ketawa,” memetik kapsyen yang dimuat naik berserta sekeping foto mereka berdua dan anak-anaknya.

Tambah Fasha, ramai pengikutnya yang suka melihat keakrabannya dengan pelakon kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu memandangkan status Aidil yang masih bujang, malah bukan juga suami orang atau duda.

Namun, pada masa yang sama, terdapat juga peminatnya yang tidak gemar melihat kedua-dua pelakon itu bersama kerana pengalaman hitam Aidil yang pernah terpalit dengan kes penyalahgunaan dadah.

“Ya, tidak dinafikan ada juga yang tidak suka dek pengalaman lalu yang pernah dia lalui.

"Ditambah pula dengan perbuatan manusia yang merakam video curi kami sedang bersalaman dan menyebarkan dengan niat untuk mengaibkan orang lain, tetapi tak mengapa.

“Apa saja pendapat yang diberikan sekarang, saya terima dengan positif. Ini kerana, saya yakin semua mahukan yang terbaik dan saya terima dengan hati yang terbuka,” akuinya.

Baginya, setiap apa yang berlaku biarlah berlalu dan tiada siapa berhak untuk menilai atau menghukum masa silam orang lain.

“Allah lebih mengetahui segala-galanya,” ulas Fasha. - UTUSAN ONLINE