Melalui kenyataan yang dikongsi, Fasha akui keyakinannya terhadap Aidil membuatkan dia bersetuju untuk meneruskan hubungan ini ke fasa berbeza selepas hampir tiga tahun menjanda.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana Aidil dan keluarganya menerima saya dan anak-anak dengan baik sekali,” katanya.

Aidil yang mesra disapa Pak Ngah oleh telah melamar aktres itu pada 21 Jun lalu dan Fasha mengambil masa beberapa bulan untuk memikirkan tentang perkara ini.

“Saya sebenarnya khuatir dan dilema untuk menerima pada mulanya. Namun saya lihat kualiti yang ada pada Aidil.

“Dia juga cukup akrab dengan kedua-dua anak saya sejak dari awal saya perkenalkan kepada mereka. Saya tertarik kerana Aidil meletak usaha dan inisiatif untuk mendekati anak-anak saya dengan meluangkan masa dan bijak mengambil hati mereka berdua.

“Malah Aidil juga pandai menghormati ibu bapa dan keluarga saya,” tambah Fasha.

Hubungan Fasha dan Aidil mula rapat selepas kedua-duanya bergandingan dalam sitkom Mamu Mami Gosip, awal tahun ini.

Walaupun sebelum ini tiada kata putus mengenai hubungan yang terjalin, Fasha mengakui, Aidil menjadi rakan lelaki yang cukup rapat dengan dirinya.

Malah hubungan masing-masing mula dihidu peminat apabila video mesra mereka berpelukan di lapangan terbang tersebar beberapa bulan lalu.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 34, sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal berusia 5 tahun dan Putri Raysha Jemyma, 4. - UTUSAN ONLINE