Hits: Bila sebenarnya Shera mengenakan tudung?

Shera: Baru-baru ini lagi, sebenarnya tidak ramai yang tahu. Jadi saya juga tidak mahu terlalu bercerita soal ini. Sebabnya saya lebih senang kalau orang itu terjumpa saya sendiri dan bertanya.

Selalunya ada kisah di sebalik keputusan besar ini, mungkin Shera sendiri boleh berkongsi?

Shera: Tidaklah, tiada apa yang berlaku sebelum saya membuat keputusan ini. Tetapi perasaan itu memang ada sudah lama, cuma baru sekarang ia berlaku. Memang saya bersyukur sangat mungkin ini janji yang sudah tertulis yang saya akan mengenakan tudung sekarang.

Mungkin ini permintaan suami juga?

Shera: Zahiril tidak memaksa, kerana dia percaya berubah demi orang lain bukan sesuatu yang dia suka. Jadi bila saya berubah dengan kehendak saya sendiri, perasaannya berbeza dan kita tahu ini sesuatu yang ikhlas.

Bagaimana Zahiril Adzim sendiri melihat perubahan ini.

Shera: Dia tidak cakap apa-apa, cuma saya tahu memang dia juga nantikan keadaan ini sudah lama. Mungkin ini doa dia dan saya juga. Kali pertama saya mengenakan tudung ketika keluar rumah dia cuma tanya, betul ke? Bila saya cakap ya, dia hanya senyum.

Dari segi lakonan pula bagaimana?

Shera: Saya tidak melihat perubahan ini sebagai petanda saya akan kurangkan aktiviti seni saya. Melihat lebih ramai orang bertudung kini saya yakin, ia adalah perkara normal. Cuma sebagai seorang ibu dan isteri rasanya sejak dahulu lagi memang saya agak teliti memilih skrip.

Kembali kepada penyebaran gambar bersolat Zahiril yang menimbulkan pelbagai reaksi baru-baru ini apa komen Shera?

Shera: Saya lihat perkara itu normal. Menunaikan solat adalah tanggungjawab sebagai seorang Islam, mengapa di situ, kotor atau apa, bukan manusia yang tentukan sama ada amalan itu diterima atau tidak. Suami saya sendiri lebih tahu apa yang dia lakukan.