Wajah Farid Kamil ketika dibawa ke mahkamah hari ini.

Fadzil, 34, berkata, dia ada bertemu dengan abangnya tiga sehari sebelum ditahan dan Farid memberitahu yang dia terlalu merindui dua anaknya, Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3.

“Ketika bertemu, dia beritahu saya bahawa dia sudah lama tidak berjumpa dengan dua anaknya. Dia kelihatan murung namun saya tidak sangka dia bertindak sebegini.

“Dia mungkin mengalami masalah mental dan tekanan perasaan. Kami sekeluarga akan memberi sokongan mental terhadapnya termasuk membawanya berjumpa doktor pakar,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Farid ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengamuk dan menyerang seorang anggota polis selain dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara semalam.

Saringan kencing yang dijalankan terhadap artis itu juga mendapati dia positif ganja.

Mengulas mengenai ketiadaan isteri Farid Kamil, Datin Diana Danielle di mahkamah sebentar tadi, Fadzil berkata dia gagal menghubungi kakak iparnya itu sejak abangnya ditahan polis semalam.

”Pihak Diana sudah memberi kenyataan kepada media semalam dan mereka meminta pihak kami menjelaskan selebihnya.

“Saya juga ada menghubungi Diana namun gagal jadi saya tidak pasti mengapa Diana tidak dapat hadir hari ini sedangkan Farid amat memerlukan sokongan orang tersayang pada ketika ini,” ujar Fadzil yang turut ditemani adiknya, Anis Anwar.

Farid dan Diana berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata. - UTUSAN ONLINE