FARID KAMIL dan Diana Danielle pada Majlis Anugerah Skrin 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam kelmarin. – MINGGUAN /Mohd. Farizwan Hasbullah

Farid Kamil yang ditemui pada malam berlangsungnya Anugerah Skrin 2016 berkata, terdapat banyak kaedah atau cara yang boleh diambil oleh setiap pasangan suami isteri untuk menyelesaikan kemelut hubungan masing-masing.

“Saya rasa tiada yang salah de­ngan tindakan Diana Danielle itu. Mahkamah syariah adalah salah satu tempat untuk mendapatkan khidmat nasihat jika berhadapan masalah berkaitan perkahwinan, khas buat orang Islam.

“Malah, dalam setiap mahligai yang dibina, perlu ada masa untuk si suami atau isteri bermuhasabah, menilai semula hubungan tersebut menerusi perbincangan secara terbuka,” katanya mengulas lanjut kontroversi yang melanda pasangan itu di sini semalam.

Terdahulu, berita kehadiran aktres Hanyut itu di mahkamah tersebut bersama seorang peguam menjadi bualan ramai sehingga menimbulkan persepsi rawak mengatakan rumah tangga mereka semakin goyah.

Tambah Farid Kamil, ia ibarat satu masa yang perlu dilalui untuk lebih mengenali antara satu sama lain dan mengakui masih bahagia dan gembira dengan perkahwinan mereka.

“Saya juga percaya, ada hikmah dalam setiap yang berlaku kerana secara tidak langsung membangkitkan kembali kema­nisan dalam hubungan kami yang telah terbina sejak empat tahun lalu,” katanya sambil tersenyum.

Pasangan ini mendirikan rumahtangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 3, dan Nur Aurora, setahun.