Kongsi Fardhan Zee, 33, gara-gara karier nyanyiannya tidak menjadi, dia pernah membuat keputusan untuk meninggalkan bidang seni dan memberi tumpuan kepada kerjaya baharu.

“10 tahun lepas saya buat keputusan untuk meninggalkan dunia seni dan memberi tumpuan kepada bidang hartanah. Alhamdulillah kehidupan semakin baik kini.

“Malah dalam tempoh itu juga saya bertemu dengan wanita pilihan hati dan perkahwinan kami sudah dikurniaan seorang anak,” katanya.

Mengakui kecewa kerana gagal menjadikan bidang nyanyian sebagai lapangan rezeki utama, itu tidak bermakna Fardhan enggan lagi dikenali sebagai penyanyi. Malah sebagai bukti dia kini kembali dengan single terbaharu You Are My Everything ciptaan Andrie Yahya.

“Tipu kalau saya kata tidak rindu untuk kembali menyanyi, malah dalam kesibukkan menguruskan perniagaan saya tetap berharap untuk kembali suatu hari nanti. Kini adalah waktu yang sesuai.

“Dengan perniagaan yang kian stabil, mungkin saya mempunyai lebih masa untuk memberi tumpuan kepada bidang nyanyian,” katanya yang kini tinggal di Pulau Bali, Indonesia.

Mahu mengekalkan irama dangdut dalam lagu-lagunya, kata Farhdan walaupun ada yang mengatakan lagu genre ini muzik kampung namun dia yakin itu bukan isu yang besar.

“Bagi saya ini adalah suatu muzik yang mudah didengar malah saya sendiri membesar dengan lagu-lagu ini.

“Mungkin melalui generasi ke generasi ada pembaharuan yang perlu dilakukan agar muzik ini terus relevan,” katanya yang baru-baru ini ke Malaysia untuk mempromosikan lagunya itu. - UTUSAN ONLINE