Itu yang dilakukan oleh pelakon Farah Nabilah yang sanggup mengosongkan jadualnya selama sebulan untuk menjelajah ke negara-negara Eropah semata-mata mahu menikmati secawan kopi!

Kedengaran agak pelik bukan?

Pertama kali menggalas tugas sebagai pengacara untuk sebuah program travelog berjudul Coffee Roaster Traveller, Farah mengakui sangat teruja.

Hampir tujuh buah negara Eropah dijelajahi Fara termasuk Jerman dan Austria demi memburu lokasi kopi terbaik di sana untuk dikongsi dengan penonton.

“Tentunya buat mana-mana penggemar kopi macam saya, peluang seperti ini sangat bermakna. Jujurnya saya sangat gembira apabila ditawarkan menjadi hos program ini.

“Melancong dan memburu kopi terbaik di negara asing, tidak semua orang ada peluang begitu bukan?” katanya.

Berasa bertuah, pelakon berusia 26 tahun ini bagaimanapun mengaku bergelar hos program televisyen adalah tidak semudah yang disangka.

“Saya anggap ini cabaran yang baru dalam bidang seni. Seperti lakonan, bidang pengacaraan juga ada kesukarannya, salah satunya menuntut saya untuk menyebut sesuatu perkataan asing dengan baik.

“Contohnya nama tempat di Eropah. Ada antaranya susah nak sebut. Tetapi saya paling suka dengan cuaca di sana yang sejuk, semuanya menambahkan keseronokan.

“Terasa tenang dan relaks bila bertugas,” katanya yang jatuh cinta dengan keindahan negara Hungary dan Itali yang lain daripada yang lain.

Selain mengendalikan program travelog berkenaan, jadual seninya juga terisi dengan komitmen terhadap penggambaran telefilem berjudul Inikah Soal Cinta (ISC) yang dijalankan di benua yang sama.

Kopi adalah budaya

Berkongsi mengenai pemilihan kopi sebagai subjek program travelog, kata Suraya, Eropah adalah syurga kopi yang mana ada antara lokasinya tidak pernah disingkapkan.

Kagum dengan keistimewaan kopi di setiap negara yang dijelajahi, Suraya dan pasukan produksi mahu berkongsi dengan penonton mengenai keunikan minuman itu.

“Di Eropah, kopi dilihat sudah menjadi satu cara hidup dan budaya. Bermula dari pagi hingga malam, kopi menjadi pilihan sepanjang masa dengan pelbagai cara.

“Mungkin ramai tahu keunikan kopi di negara-negara Asia namun tidak di Eropah. Kelainan yang disuntik adalah paparan kafe kopi yang tidak pernah dikomersialkan sebelum ini,” katanya.

Selain Farah Nabilah, turut dibawa ialah Datuk Fizz Fairuz, Eddie Jufril dan Azri Sabri yang menjayakan telefilem ISC di bawah arahan Shirin Khuzaimin.

Program travelog dan telefilem ini akan ditayangkan awal Januari depan di saluran RTM TV OKEY (Astro 109) dan Myfreeview 110.

Sanggup berhabis duit

Dalam pada itu, Pengarah Urusan CMA Media Sdn. Bhd, Suraya Saad yang menerbitkan program dan telefilem tersebut memuji bakat pengacaraan Farah Nabilah.

Meski masih baharu, Suraya menganggap peluang itu tidak dipersiakan oleh Farah yang mengendalikan program tersebut dalam bahasa Inggeris.

Menerbitkan kedua-dua karya berkenaan dengan kos sebanyak RM300,000, Suraya tidak ralat berhabis duit sendiri asal hasil kerja yang dipertontonkan pada umum berkualiti.

“Menjadi keutamaan saya untuk mengekalkan reputasi syarikat penerbitan yang dikenali dengan hasil karya yang bermutu.

“Disebabkan itu, dari awal proses pembikinan sesebuah karya saya akan ambil tahu termasuk aspek pelakon, pengarah, tenaga kru produksi dan lokasi.

“Ia penting kerana keseluruhan karya yang bermutu akan membuka mata banyak pihak terutama penonton yang kini bijak menilai,” jelasnya.

Tidak berkompromi dengan mana-mana penggiat seni yang tidak memberi kerjasama baik ketika bekerja dengannya, Suraya tidak menolak, ramai artis cuba melobi dengannya.

“Dalam kalangan penggiat seni tahu kebanyakan penggambaran karya terbitan saya dijalankan di luar negara dan ia menjadi hasrat ramai untuk menyertai pasukan saya ke sana.

“Saya akui agak memilih dalam aspek tenaga kerja kerana tidak mahu melayan kerenah artis mahupun kru yang bermasalah disiplin,” katanya.