Seperti wanita lain, chef selebriti terkenal di Indonesia ini tidak pernah berputus asa mendambakan cinta sejati daripada seorang lelaki. Bahkan dalam tempoh ‘sepinya’ itu, Farah sentiasa berdoa agar bertemu dengan pengganti yang sesuai.

Cuma dalam hal ini, Farah tidak pernah menguar-uarkan gerangan lelaki yang mendampinginya seperti yang dilakukan segelintir selebriti lain. Bagaimanapun anak jati Bandung, Jawa Barat ini hanya akan menguar-uarkan hubungannya itu selepas dia benar-benar yakin dengan keputusan yang dibuat.

Farah membuktikan prinsip yang dipegangnya itu selepas bertemu dengan Nicky, seorang doktor muda kelahiran Amerika Syarikat (AS). Dengan lelaki itulah, Farah dengan yakin berkongsi isi hati wanitanya secara terbuka selepas bercerai dengan Carson.

“Cita rasa lelaki idaman aku tetap tidak pernah berubah. Dari zaman anak dara sampai ke sekarang, aku tetap meminati lelaki berdarah kacukan Inggeris. Di mata aku, mereka ini sangat seksi.

“Bukan mahu menjatuhkan maruah susun galur keturunan sendiri, tidak sama sekali. Cuma dalam hal memilih teman lelaki ini, aku suka berkomunikasi dengan mereka. Cara pemikiran dan gaya hidup mereka sangat ringkas.

“Definisi mereka tentang cinta juga mudah. Sekalipun tiada lagi berhubungan, mereka akan tetap memberi sokongan kepada pasangan sampai bila-bila,” kata Farah yang kini menetap di negara Uncle Sam itu.

Dalam hal percintaan dengan kekasih baharunya itu, Farah mengakui hubungan yang terjalin semakin lancar apabila mereka berdua berkongsi minat yang sama seperti mengembara, melakukan aktiviti riadah yang mencabar selain membantu orang yang memerlukan.

Jika ada kelapangan masa, pasangan ini pasti akan sama-sama mencipta memori indah dengan berkunjung ke tempat pelancongan yang menarik sama ada AS ataupun di sekitar Indonesia.

Dengan cara itu, Farah berpeluang untuk mengenali secara rapat kekasihnya itu selain dapat mencari keserasian sebelum membawa hubungan tersebut ke peringkat lebih serius.

“Setiap kali memulakan hubungan baharu, aku pasti akan memperkenalkan teman kepada orang tua aku. Paling penting pada anak aku (Armand Fauzan Quinn). Aku tidak mahu berselindung apa-apa dengan mereka.

“Dalam apa jua ketika, mereka berhak untuk mengetahui apa yang sedang dalam hidup aku. Menjadi atau tidak satu hubungan itu, semuanya aku serahkan kepada-Nya.

“Buat setakat ini, aku hanya menikmati keseronokan yang ada di depan mata. Itu saja,” kata Farah yang bersyukur apabila hubungan cinta dengan Nicky mendapat restu daripada orang tuanya di Jakarta, Indonesia.

Belum bersedia untuk mendedahkan secara terperinci gerangan Nicky bagaimanapun Farah bersedia untuk berbuat demikian pada satu hari nanti.

Bangga dengan Armand

WALAUPUN terpaksa berpisah dengan Armand yang kini berada di bawah jagaan nenek dan datuknya di Jakarta, Farah tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya kepada satu-satunya darah dagingnya itu.

Apa saja yang berkaitan tingkah laku dan pelajaran Armand, Farah pasti akan segera mendapatkan perkembangan terkini tentang anak lelakinya itu.

“Armand baru berusia sembilan tahun tapi tahap pemikirannya sangat matang. Kadangkala aku tidak percaya, dalam usia muda sebegitu dia boleh berfikiran panjang. Sudah ada perancangan untuk keluarga.

“Yang paling membuatkan hati aku senang apabila Armand kini sudah pandai mengaji al-Quran. Siap dengan hukum tajwid yang betul. Armand juga rajin bersembahyang.

“Dia juga tidak pernah lupa untuk berdoa buat bapanya, aku dan keluarga. Sungguh, aku sangat bangga dengan Armand,” ujar Farah.

Tidak pernah memutuskan hubungan dengan bekas suami, Farah juga tidak mahu pemikiran Armand dikotori dengan isu-isu yang tidak relevan dalam institusi kekeluargaan.

Enggan menjadikan Armand sebagai mangsa perceraian, Farah juga tidak pernah membangkitkan isu hak penjagaan anak dengan Carson. Pendirian itu bertujuan kerana tidak mahu mengganggu psikologi Armand yang sedang membesar itu.

“Selepas bercerai, aku dan Carson tidak pernah bergaduh. Apatah lagi di depan Armand. Kami baik-baik saja dan mengutamakan keperluan Armand dalam apa jua perkara,” kata Farah lagi.