Gadis manis kelahiran Yogyakarta itu memulakan kerjaya sebagai pelakon dan model selepas menyertai pertandingan Gadis Sampul, 11 tahun lalu. Selepas itu, pelakon sinetron Kisah Idul dan Fitri itu terus dihujani pelbagai tawaran drama, filem dan iklan.

Terbaharu, kejelitaan pelakon tinggi lampai ini diiktiraf setelah dia dipilih menjadi ‘wajah’ penghias produk Beetox Safi Rania Gold. Dia yang ditemui sempena pelancaran produk itu berkongsi kegembiraan kerana turut diberi peluang menjayakan iklan bagi produk tersebut.

“Menjadi antara selebriti pilihan yang diberi kepercayaan untuk memperkenal jenama ini, ia satu pencapaian yang besar. Beetox Safi Rania Gold masih belum ada di negara saya. Oleh itu penglibatan ini dapat memperkenal rangkaian tersebut ke pasaran Indonesia pula.

“Walau cuma berlakon iklan (di Malaysia), saya anggap itu satu anjakan besar dalam karier. Tambahan pula, belum ada tawaran berlakon filem atau drama datang dari negara ini. Mungkin iklan itu nanti akan memperkenalkan saya kepada penggemar tempatan,” katanya.

Besar harapan gadis berketinggian 169 sentimeter ini. Tetapi itu bukan mustahil kerana sememangnya rezeki ada di mana-mana dan terbukti penyanyi atau pelakon Indonesia juga mencipta nama di Malaysia.

“Ramai rakan-rakan artis di Indonesia berpeluang kembangkan karier di Malaysia. Jika mereka boleh, kenapa tidak saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fara akui kemunculan pelakon baharu khususnya di Indonesia bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Dia turut akui, wujud persaingan sihat dalam industri.

“Mereka (pelakon baharu) terlalu ramai. Persaingan itu ada tetapi semuanya positif sahaja.

“Semua berbalik kepada soal rezeki. Tidak perlu menjatuhkan jika ingin berjaya. Itu pegangan saya untuk kekal dalam industri,” jelasnya.

Disoal tentang rahsia kecantikan, Fara memberitahu sentiasa mengamalkan rawatan wajah dan pemakanan sihat. Katanya lagi, senaman juga menjadi kaedah untuk kekal menarik.

“Saya sering bersenam di gimnasium dan melakukan zumba serta tabata. Pada masa sama, saya minum air suam dua liter sehari untuk kekal hidrat dan sihat,” ujarnya.