Bertandang ke Malaysia selama seminggu bagi mempromosikan naskhah One Two Jaga arahan Nam Ron baru-baru ini, Ario menzahirkan rasanya yang begitu berbesar hati kerana mendapat peluang menyerlahkan nama di negara ini.

Menyifatkan kecintaan dalam dunia lakonan tidak pernah berbalah bahagi bagi Ario, rasa cinta terhadap bidang seni disifatkan sudah sebati dalam dirinya.

Pernah membawakan watak sebagai Lintang dewasa dalam filem popular, Laskar Pelangi serta tercalon untuk kategori Aktor Terbaik Indonesian Movie Award (2009), Ario juga pernah beraksi dalam filem Hollywood, Java Heat bergandingan dengan pemenang Oscar, Mickey Rourke.

Meskipun agak lama tidak beraksi di layar lebar, lelaki berasal dari Jawa Tengah dan lama menetap di New Zeland ini menjelaskan, persetujuannya menerima pelawaan Bront Palarae yang juga pemilik syarikat produksi Pixel Play Entertainment itu bukanlah atas dasar persahabatan semata-mata.

“Saya bersetuju menyertai produksi filem ini kerana skrip dan jalan ceritanya yang bagus, di samping keterujaan untuk berkolaborasi buat julung kali dengan para pemain seni di sini.

“Ini adalah kali pertama saya bekerjasama dan berlakon bawah arahan Nam Ron. Nyata sekali, kolaborasi ini berbaloi walaupun difahamkan naskhah ini sukar untuk diterima baik penonton.

“Saya optimis akan hal ini kerana seperti penerimaan masyarakat di sini, saya juga dapat rasakan bagaimana sesuatu kebenaran yang dipaparkan dalam filem ini turut sukar diterima komuniti peminat filem di Indonesia,” katanya mengutarakan pendapat.

Namun menurut Ario, sebagai anak seni, jumlah wang ringgit yang diraih bukanlah ukuran tetapi nilai mesej yang cuba diperoleh hasil perjuangan seni seseorang pengkarya.

Pada masa sama, dia tetap berasa terkilan tentang corak pemikiran penonton yang masih dibelenggu budaya takut kepada bayang-bayang sendiri.

“Sudah menjadi lumrah manusia, tiada siapa mahu mengaku atas kesalahan yang dilakukan dan itulah yang terjadi terhadap One Two Jaga.

“Pembongkaran kegiatan rasuah yang berleluasa dalam kalangan penguat kuasa dan juga orang awam bukanlah kisah rekaan dan disebabkan kebenaran itulah, komuniti berasa sensitif lalu cuba menolaknya,” kongsi Ario menyuarakan pendirian.

Demi kelangsungan karier seni

MENGULAS mengenai 'persaraannya' usai membintangi naskhah Soekarno lima tahun lalu dan berhasrat untuk aktif dalam bidang perniagaan, Ario beranggapan keputusan tersebut merugikannya.

Pernah menempuhi fasa kejatuhan, jejaka sasa itu merubah pendiriannya, tatkala merasakan ketidakpuasan dalam menzahirkan rasa cinta terhadap seni.

Bukan itu sahaja, kegagalannya dalam bidang pelaburan dan perniagaan juga telah mendorongnya untuk kembali aktif berkarya memperjuang kembali kecintaannya dalam dunia lakonan yang disertainya sejak berusia 19 tahun.

“Namun dengan satu syarat, asalkan skrip dan jalan ceritanya bagus, barulah saya terima tawaran.

“Pun begitu, jika ada tawaran yang saya sendiri dapat rasakan kelonggaran dalam penceritaannya, saya tidak akan menolaknya bulat-bulat.

“Saya lebih gemar berdiskusi dengan pengkarya yang menghasilkan skrip tersebut atau pemilik idea asal yang mengilhamkan jalan ceritanya.

“Beberapa usul atas kekurangan yang dikenal pasti akan dicari penyelesaian terbaik demi penghasilan sebuah naskhah hebat.

“Bukan mahu menunjukkan kebagusan saya tetapi untuk memastikan seluruh produksi memperoleh impak yang lebih positif,” tegasnya yang sudah membintangi lebih 30 buah filem itu.

Berbicara lanjut mengenai sikap selektif amalannya, Ario menepis tanggapan segelintir yang menyifatkannya seorang pelakon cerewet.

Hujahnya, selektif dan cerewet itu ada dua perkara berbeza dari sudut definisi dalam menentukan kelangsungan karier seninya.

“Saya tidak kisah dikatakan seorang selektif kerana sikap demikian memastikan hala tuju dan kelangsungan hayat seseorang pelakon dalam bidang ini.

“Bersikap selektif itu tidak salah kerana terbuka menerima pandangan pihak lain, di samping saya juga mengharapkan idea saya diterima sebaik mungkin.

“Cerewet pula lebih kepada menggambar betapa egonya keperibadian sesorang itu yang sukar bertoleransi. Mudah kata, seorang yang pentingkan diri sendiri,” katanya memberi tafsiran.