Penerbitnya, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata dalam sidang akhbar yang diadakan Isnin lalu, kehebatan naskhah yang diadaptasi daripada filem OlaBola itu menjadi tarikan utama penonton untuk menyaksikannya kelak.

"Terdapat beberapa faktor yang meyakinkan saya bahawa peminat akan teruja dan tidak sabar menonton pementasan ini nanti selain kejayaan filem tersebut di layar perak.

"Isi kandungan jalan ceritanya sarat dengan pelbagai elemen di samping mesej utama tentang semangat perpaduan masyarakat majmuk Malaysia yang menjadi tunjang keseluruhan plot cerita.

"Paling menarik, set kopitiam telah direka khas untuk dijadikan tumpuan mata penonton, simbolik sebuah lokasi yang mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira bangsa mahupun pangkat.

"Selain itu, dua pelakon asalnya, Luqman Hafidz dan Jian Wen dikekalkan sebagai teraju utama teater ini dan beberapa bakat baharu diperkenalkan bagi memperkasakan senarai barisan pelakon," katanya kepada Utusan Online.

Menurut Tiara, hampir 300 orang menghadiri sesi uji bakat dan 40 orang yang terbaik telah dipilih bagi menjayakan pementasan ini. 

Bukan itu sahaja, teater muzikal berkenaan adalah pertama di Malaysia membawakan genre muzik hip-hop dan rap serta menampilkan Altimet selaku penasihat.

Lagu tema berjudul Luar Biasa nyanyian Altimet dan barisan pelakon OlaBola The Musical telah pun dilancarkan bagi menghangatkan lagi kempen promosi.

Pada masa yang sama, mengulas lanjut mengenai jalan cerita, hampir 90 peratus plot asal akan dipentaskan di hadapan audiens di Panggung Sari, Istana Budaya.

Malah katanya, dewan utama panggung berprestij itu akan diubah suai menggunakan teknologi terkini bagi mewujudkan suasana seolah-olah berada di dalam sebuah stadium yang dipenuhi penonton bagi menyaksikan perlawanan bola sepak.

Bukan itu sahaja, selain bertindak selaku penerbit, pementasan OlaBola The Musical juga buat julung kalinya akan mempersembahkan sebuah teater arahan Tiara sendiri.

"Jujurnya, saya memang gementar untuk pementasan ini sebab kali pertama mengarah tetapi itulah cabaran yang perlu saya atasi. Harap semuanya dipermudahkan.

"Paling sukar bagi saya adalah untuk mementaskan adegan bermain bola agar kemeriahan, keterujaan, keghairahan malah kegelisahan meresap dalam jiwa audiens yang menontonnya," tambahnya.

Tiara juga berharap, usahanya mementaskan karya-karya popular seperti P. Ramlee The Musical, Puteri Gunung Ledang dan The Secret Life of Nora adalah semata-mata mahu menarik minat generasi muda, selain memelihara kesinambungan industri teater tanah air.

Di samping Luqman dan Jian Wen, barisan pelakon utama ialah Iedil Putra, Altimet, Brian Chan, Abimanyu Masilamani, Kai Chalmers dan Melissa Ong. - UTUSAN ONLINE