Pemilik nama sebenar Abdul Aziz Hayat itu berkata kepada Utusan Online, dia menunggu peluang untuk bekerjasama dengan penyanyi dan komposer terkenal tersebut selain mahu 'mencuri' pengalamannya.

"Karya-karya yang dihasilkannya sangat luar biasa. Bukan sahaja mempunyai kredibiliti yang bagus sebagai seorang penyanyi dan penghibur, malah Faizal adalah komposer yang genius dalam menghasilkan karya-karya bermutu tinggi.

"Itulah faktor utama yang membuatkan saya begitu meminatinya dan berharap suatu hari nanti hasrat untuk berkolaborasi dengannya dimakbulkan. Dia adalah idola saya dan banyak memberi inspirasi," akui Jaz yang kini menetap di Jakarta, Indonesia sejak 2011.

Baru sahaja selesai mengadakan persembahan eksklusif di pusat beli-belah IOI City Mall Putrajaya sebentar tadi, Jaz memberitahu ia adalah kempen mempromosikan single terkininya, Kasmaran.

Mula dikenali menerusi single pertama nukilannya sendiri, Dari Mata yang menjadi lagu latar drama Suri Hati Mr. Pilot, Jaz menjelaskan Kasmaran membawa maksud mabuk cinta.

"Persembahan ini direncanakan dalam masa begitu singkat. Tujuannya adalah untuk menemui secara dekat dengan peminat-peminat di sini di samping mempromosikan lagu Kasmaran yang dikaryakan oleh Bowo Soulmate dan Panji Sakti.

"Semenjak memuat naik lagu I Stalked Your Profile pada 2011 di laman YouTube, mereka (peminat) di Malaysia sudah acap kali mahukan sebuah persembahan eksklusif di sini," katanya.

Selain Jaz, persembahan tersebut yang dianjurkan oleh Sony Music Malaysia turut menampilkan beberapa artis lain seperti Farisha Irish, Ary Hadre, Insomniacks, Leo Danniel dan Sarma Cherry. - UTUSAN ONLINE